Petua Hilangkan Parut Di Kulit Badan

Bila tercedera ada kalanya akan meninggalkan parut di badan. Walaupun begitu ada beberapa petua untuk menghilangkan parut di kulit badan seperti berikut;

  1. Basuh bersih daun lidah buaya yang segar. Sapukan lendirnya di serata kulit yang berparut setiap kali sebelum tidur. Biarkan semalaman dan cuci keesokannya dengan air suam.
  2. Ambil beberapa biji pisang emas dan kupas kulitnya. Tenyehkan bahagian dalam kulit pisang pada parut. Lakukan setiap hari sehingga anda dapat lihat perubahannya.
  3. Campurkan segenggam bedak sejuk yang telah dicampurkan dengan cekur yang telah ditumbuk halus. Pakai bedak sejuk ini sebelum masuk tidur. Lakukan sehingga kesan parut itu hilang.
  4. Kisar timun dan sebiji tomato. Tapiskan airnya dan minum untuk menyejukkan badan. Ambil hampas timun dan tomato tadi, gossokkan di bahagian muka, tangan dan kaki. Amalkan seminggu sekali.
  5. Goreng biji asam jawa tanpa minyak lebih kurang lima minit. Kemudian ambil dan goreskan pada batu atau permukaan yang kasar. Bila keluar serbuknya, titiskan dengan air dan gosok pada parut. Amalkan selalu dan lihat hasilnya.

Technorati Tags: , , , , , ,

Petua Menyegarkan Kulit Muka

Muka yang lesu dan tidak bermaya tentu menghilangkan seri wajah seseorang. Berikut adalah beberapa petua untuk menyegarkan kulit muka;
  1. Perah sebiji epal hijau dan sapukan jusnya ke muka. Biarkan selama 10 minit kemudian cuci muka dengan bersih.
  2. Perah limau nipis lebih kurang empat sudu dan campurkan dengan satu sudu kecil madu. Sapukan pada muka dan biarkan selama satu jam. Bersihkan muka dengan air suam. Boleh juga dijadikan sebagai masker dan untuk mengecilkan pori-pori. Amalkan dua kali seminggu.
  3. Bersihkan muka dan biarkan selama lima minit. Sementara itu, jerang air sehingga mendidih, kemudian tuangkan ke dalam sebuah bekas.
    Tundukkan muka anda ke arah bekas itu supaya wap yang panas sampai ke muka. Sambil itu tutup kepala dengan tuala supaya wap itu tidak dapat keluar. Amalkan setiap pagi dan malam, beberapa kali seminggu sebelum dapat melihat kesannya.
Technorati Tags: , , , ,

Mereka Boleh Aku Pun Boleh

"Kalau mereka boleh berjaya, saya pun boleh berjaya", inilah kata-kata yang sering dilafazkan oleh orang yang cemerlang. Apabila menghadapi masalah atau jalan buntu, mereka tidak mudah berputus asa kerana berkeyakinan bahawa kalau orang lain boleh buat sesuatu atau berjaya mengapa mereka tidak boleh.

Rujukan mereka ialah orang yang cemerlang serta telah membuktikan kehebatan diri. Walaupun begitu bagi pelajar yang lemah pula ada tiga kemungkinan.

Pertama mereka tidak ada rujukan mana-mana orang cemerlang. Keduanya kalau ada pun rujukan orang cemerlang, mereka merasakan mereka tidak mampu atau layak untuk berjaya seperti itu. Atau ketiganya, rujukan mereka ialah rakan-rakan yang sendiri memang lemah.

Bagi merasionalkan kelemahan atau kemalasan mereka, akan berkatalah, "Kalau dia tu sudah berusaha pun masih gagal, buat apa kita berusaha bersungguh-sungguh".

Sepatutnya sebagai pelajar, contohnya, pelajar lain pun macam kita. Mereka belajar di sekolah yang sama, dengan guru yang sama, mata pelajaran yang sama, menggunakan buku yang sama. Malah mereka juga dikurniakan otak yang sama. Jadi kalau mereka boleh berjaya, maka mengapa kita tidak.

Technorati Tags: , , , ,

Mengambil Semula Barang Yang Diberi

Abdullah bin Abbas melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata,

"Orang yang mengambil semula apa yang diberinya, umpama anjing yang menjilat semula muntahnya."

Dalam laporan lain oleh Muslim, Nabi Muhammad berkata,

"Perumpamaan orang yang mengambil semula sedekah yang diberi adalah seperti anjing muntah kemudian dia datang semula kepada muntahnya dan makan muntah itu."

Dalam laporan lain, Nabi Muhammad berkata,

"Orang yang mengambil semula barang yang sudah diberi adalah sama seperti orang yang menjilat semula muntahnya."

~ Bukhari dan Muslim


Umar bin Khattab melaporkan, katanya,

"Saya menderma seekor kuda kepada seseorang bagi digunakan dalam perang menegakkan agama Allah. Tetapi dia cuai terhadap kuda itu. Saya hendak membeli semula kuda itu dan saya fikir, dia akan menjualnya dengan harga yang murah. Saya pun meminta pandangan daripada Nabi Muhammad. Beliau menjawab,

"Saudara jangan beli. Saudara jangan ambil kembali sedekah yang saudara beri sekalipun saudara memberi satu dirham sahaja. Kerana orang yang mengambil kembali sedekahnya seperti orang yang menelan semula muntahnya.""

~ Bukhari dan Muslim

Technorati Tags: , , , , ,

Susah Sebelum Senang

Berjalan pada mulanya sukar bagi si anak kecil. Tetapi setelah dilatih dan beberapa kali jatuh, lama-kelamaan dapat juga si comel itu berjalan. Masalah yang sama juga terdapat dalam kehidupan. Oleh itu apabila menghadapi apa jua masalah, bersabar dan berusaha sehinggalah dapat diatasi.

Semasa di zaman kanak-kanak dahulu emak melatih kita menyuap nasi sendiri. Pada mulanya agak susah sehingga kita dipakaikan lapik dada untuk mengelak nasi tertumpah ke atas baju. Apabila kita semakin besar, kita dilatih pula mengenakan pakaian sendiri. Malah mengenakan butang baju atau seluar dikira kerja yang sukar. Selepas itu kita belajar menaiki basikal. Apabila dewasa kita belajar memandu kereta. Semua itu pada mulanya pun agak sukar.

Umumnya, pada mulanya semua perkara itu kelihatan sukar. Tetapi setelah diulang-ulang, akhirnya ia akan kelihatan mudah. Semuanya dapat dilakukan tanpa berfikir panjang. Itulah resam hidup, apa pun susah sebelum menjadi senang.

Prinsip yang sama boleh kita praktikkan dalam menguasai sesuatu perkara atau tugasan. Walaupun pada peringkat awal kelihatan sukar, namun kita perlu berusaha dan terus berusaha serta banyak membuat latihan. Dengan cara itu, apa yang pada mulanya kelihatan sukar akan menjadi lebih mudah kelak.

Technorati Tags: , , , , ,

Lakukannya Dengan Sepenuh Hati

Apabila kita membuat sesuatu kerja, kita perlu lakukanya sebaik mungkin. Maknanya kita perlu berikhtiar dan mencari pelbagai jalan agar kualiti atau mutu kerja yang dipersembahkan ternyata hebat. Sikap seperti ini menjamin kejayaan ke atas setiap kerja yang dilakukan.

Apabila membuat sesuatu kerja, lakukannya sepenuh tenaga untuk menjayakan kerja tersebut.

Selain daripada bersikap positif dan melakukan sesuatu kerja dengan cara yang betul, satu lagi faktor penting yang menentukan kejayaan ialah usaha yang bersungguh-sungguh. Ini bermakna kita akan berusaha, berikhtiar dan mencari pelbagai jalan untuk memastikan apa yang sedang kita lakukan dapat dilakukan dengan baik dan bermutu tinggi.

Kita ambil contoh seorang pelajar. Ketika orang lain masih tidur dia dah bangun awal belajar, ketika orang lain berputus asa dia masih mencuba lagi, ketika orang lain hilang minat, minatnya masih mendalam dan ketika orang lain menemui jalan buntu dan menyerah kalah, dia akan cuba mendapatkan bantuan guru dan sebagainya.

Kesimpulannya, apa sahaja yang dia lakukan, dilakukannya sepenuh hati, sepenuh jiwa dan sepenuh tenaga daripada pelajar lain. Pada penghujungnya sudah tentu kejayaan dia akan lebih cemerlang daripada pelajar lain.

Technorati Tags: , , , , ,

15Malaysia - Rojak!

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Ia terdiri daripada 15 filem pendek dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Filem-filem ini bukan sahaja memaparkan isu-isu sosio-politik di Malaysia, malah turut menampilkan nama-nama terkemuka di Malaysia termasuklah pelakon, ahli muzik dan ahli politik yang dikenali ramai. Anda boleh anggapkan filem-filem ini sebagai filem ringkas funky yang dihasilkan oleh 15 suara hati rakyat Malaysia untuk orang Malaysia.

Filem pendek yang terakhir diberi tajuk Rojak! Filem pendek Rojak! ini mengisahkan seorang penjual Rojak yang terlibat dalam serantai gejala politik sosial Malaysia yang pelbagai macam. Dibuat sepenuhnya menggunakan teknologi CGI. Visual yang mempersonakan! Filem pendek Rojak! ini diarah oleh Suleiman Brothers.

15Malaysia Rojak!


* Watak Utama : Joseph Anthony, Masta K (Narrator) * Watak Pembantu : Mussadique Suleiman, Jordan Suleiman, Yasmin Suleiman, Rosli Mahmood, Ashrel, Leena Shah, Afiq Shahrim, Andy Saiden, Gopi, Khairil M. Bahar, CIPLAK, Edna Tan, Arul Rahim, Dawn Cheong, Jay Delancy, Akin, Zaim Zulkarnain, Johan Garcia, Raisa Fatima, Louis Dorall, Pugly * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Suleiman Brothers * Sinematografi : Mussadique Suleiman * Pengarah Seni : Bulma, Rosli Mahmood * Muzik : Ryo Leang, The Factory Music Studio * Video Pasca Penerbitan : Studio Voxel * Audio Pasca Penerbitan : Yusof Han, The Factory Music Studio, The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Rojak!


Technorati Tags: , , , ,

15Malaysia - Lollipop

15Malaysia adalah 15 filem pendek mengenai Malaysia hasil gabungan usaha antara pengarah, pelakon, ahli muzik, dan ahli politik tempatan yang cool di Malaysia. Filem pendek yang ke empat belas diberi tajuk Lollipop. Lollilop memaparkan seorang pedofilia yang sedang bersiapkan diri untuk memulakan ‘pemburuannya’. Ceritanya bertaburan dengan perumpamaan dan cerpisan penggambaran senario politik Malaysia pada masakini.

Nam Ron adalah pengarah kepada filem pendek Lallilop ini.

15Malaysia Lollipop


* Watak Utama : Bront Palare Watak pemmbantu : Adik Syahidayati Asyiqeen, Adik Izuan, Hariry Abdul Jalil * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Nam Ron * Sinematografi : Pali Yasir * Pengarah Seni : Mazalan Zulkifli * Penyunting : Akash Deep Singh, Abd Samad Hassan * Bunyi : Ahmad Tajuddin * Video Pasca Penerbitan : Tiger Tiger * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Pakaian : Bahri Umararif * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Lollipop


Technorati Tags: , , , , , ,

15Malaysia - Healthy Paranoia

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Ia terdiri daripada 15 filem pendek dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Filem pendek Healthy Paranoia mengisahkan seorang perunding perhubungan awam yang terlampau memberi nasihat kepada menteri kesihatan bagaimana untuk menyah-galakkan cara hidup yang tidak sihat di Malaysia.

Healthy Paranoia diarahkan oleh Khairil M. Bahar

15Malaysia - Healthy Paranoia


* Watak Utama : Baki Zainal, Dato’ Sri Liow Tiong Lai * Watak Pembantu : Nick Dorian * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Khairil M. Bahar * Sinematografi : Khairil M. Bahar * Penyunting : Khairil M. Bahar * Bunyi : Leonard Sinclair * Video Pasca Penerbitan : Khairil M. Bahar * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Healthy Paranoia


Technorati Tags: , , , , , , ,

15Malaysia - Duit Kecil

Projek 15Malaysia telah menyiarkan filem pendeknya yang keduabelas hari ini. Filem pendek tersebut diberi tajuk Duit Kecil. Duit Kecil adalah sebuah kisah yang berlaku di sebuah rumah pelacuran. Seorang lelaki mendapati beliau tidak mempunyai duit tukar selepas melanggan seorang pelacur di situ. Ketika mencari duit tukar banyak perdebatan dan masalah dibincangkan mereka juga isu-isu yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat Malaysia pada masa kini.

Filem pendek Duit Kecil ini diarah oleh Johan John.

15Malaysia Duit Kecil


* Watak Utama : Nam Ron, Ilya Qastalanni * Watak Pembantu : Lorna Hoong, Shuba Jayaratnam, Waheeda Sultan, Nur Shariena Hanim * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Johan John * Sinematografi : George Lee * Penyunting : Johan John * Bunyi : Ah Soon * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Duit Kecil


Technorati Tags: , , , , , , ,

15Malaysia - Meter

Filem pendek yang kesebelas dalam projek 15Malaysia adalah Meter. Meter mengisahkan seorang pemandu teksi yang dibertanyakan pendapat beliau tentang beberapa isu yang hangat diperkatakan oleh rakyat. Pemandu teksi itu dilakonkan oleh Ketua Pemuda UMNO yang berkontroversi. Filem ini berakhir dengan pemandu teksi menghadiahkan sebilah keris kepada seorang budak Cina sebagai cenderamata.

Meter diarahkan oleh Benji Lim

15Malaysia Meter


* Watak Utama : Khairy Jamaluddin * Watak Pembantu : Amber Chia, Jason Lo, Namewee, Baki Zainal, Matthew George * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Bahir Yeusuff, Pete Teo * Pengarah : Benji Lim * Sinematografi : Benji Lim, Sebastian Ng * Penyunting : Sebastian Ng * Bunyi : Rabsel Yong * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Meter


Technorati Tags: , , , , , , , , , , ,

15Malaysia - Gerhana

15Malaysia adalah satu projek koleksi sebanyak 15 filem pendek. 15 filem pendek dihasilkan oleh 15 pengarah filem Malaysia yang berbeza. Filem pendek yang kesepuluh dalam turutan ini adalah Gerhana. Filem pendek Gerhana adalah sebuah kisah pertemuan pasangan yang bercinta secara rahsia di sebuah hotel mewah sedangkan berita TV dibacakan sebagai latarbelakang. Suatu kisah gelap yang menggambarkan kekurang-minatan dan ketidakupayaan di Malaysia.

Gerhana diarahkan oleh James Lee.

15Malaysia Gerhana


* Watak Utama : Azman Hassan, Daphne Iking * Watak Pembantu : Nam Ron, Soefira Jaafar * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : James Lee * Sinematografi : J. Ishmael * Penyunting : Jamil * Muzik : Ronnie Khoo * Bunyi : Ng Ken Kin * Video Pasca Penerbitan : James Lee * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Gerhana


Technorati Tags: , , , , , , ,

15Malaysia - Slovak Sling

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Filem-filem ini boleh dianggap sebagai filem ringkas funky yang dihasilkan oleh 15 suara hati rakyat Malaysia untuk orang Malaysia.

Filem pendek yang kesembilan adalah Slovak Sling. Filem pendek ini adalah kisah komedi yang mengisahkan percubaan seorang ahli politik memujuk seorang lagi ahli politik untuk melompat parti sedangkan pada masa yang sama seorang lanun DVD haram memerhatikan aksi mereka.

Slovak Sling ini diarah oleh Woo Ming Jin.

15Malaysia Slovak Sling


* Watak Utama : Patrick Teoh, Harith Iskander, Wong Chee Wai * Watak Pembantu : Hariry Jalil, Ken Foong, Bee Seow Wei, Sue Liew * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Woo Ming Jin * Sinematografi : Wan Chun Hung * Penyunting : Woo Ming Jin * Bunyi : Lee Sim Lian * Video Pasca Penerbitan : Woo Ming Jin * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Slovak Sling


Technorati Tags: , , , , , , , ,

15Malaysia - One Future

15Malaysia adalah 15 filem pendek mengenai Malaysia hasil gabungan usaha antara pengarah, pelakon, ahli muzik, dan ahli politik tempatan yang cool di Malaysia.

Filem pendek kelapan yang dikeluarkan adalah One Future. One Future merupakan sebuah kisah sains fiksyen yang gelisah menceritakan tentang sebuah masyarakat yang sempurna, tetapi tiada sesiapa dibenarkan untuk bercakap.

One Future diarahkan oleh Tan Chui Mui.

15Malaysia One Future


* Watak Utama : Tian Chua, Ida Nerina, Pete Teo (Narrator) * Watak Pembantu : Cynthia Gabriel, Azman Hassan, Low Wai Sun, Oon Lai Keat, Lam Pooi Leng, Charlotte Lim, Diana Fernando, Sumining, Melissa Fernando, Noreen Joseph, Lee Kai Yin, Syed Harun, Muhammad Nazmi, Nikki Tok, Nor Aliya, John Teti, Albert Law, Christine Teti, Scott Issaac, Lee Ming Jun, Lee Yee Ling * Penerbit : Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Tan Chui Mui * Sinematografi : Tan Chui Mui * Penyunting : Tan Chui Mui * Muzik : Ng Chor Guan * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia One Future


Technorati Tags: , , , , , , , ,

15Malaysia - Lumpur

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Ia terdiri daripada 15 filem pendek dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Filem-filem ini bukan sahaja memaparkan isu-isu sosio-politik di Malaysia, malah turut menampilkan nama-nama terkemuka di Malaysia termasuklah pelakon, ahli muzik dan ahli politik yang dikenali ramai.

Lumpur adalah filem pendek yang ketujuh merupakan sebuah kisah moden, puitis dan ungkapan kata-kata indah yang mencerminkan Malaysia – masyarakatnya, tempat dan keindahan semangatnya.

Filem pendek Lumpur diarah oleh Kamal Sabran.

15Malaysia Lumpur


* Watak Utama : Kamal Sabran * Watak Pembantu : Aidid Abd Razak, Azman Mohd, Balan, Jeevindran, Lee Soo Hah, Loon, Nur Fatihah Afiefah, Pyan Habib, Qirian, Raja Singam, Soon, Vicknes, Yom Rafeah * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Kamal Sabran * Sinematografi : Syaiful Tajuddin * Pengarah Seni : WAQ * Penyunting : Kamal Sabran * Muzik : Kamal Sabran * Video Pasca Penerbitan : Kamal Sabran * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Lumpur


Technorati Tags: , , , , ,

15Malaysia - The Son

15Malaysia merupakan satu projek filem pendek yang melibatkan 15 pengarah filem Malaysia. The Son adalah filem pendek yang keenam. The Son ini mengisahkan seorang remaja Cina yang sedang dipandu ke balai polis untuk menjadi saksi atas kes serangan antara kaum. Satu peringatan tentang bahaya konflik dan sangkaan bersifat perkauman.

The Son adalah arahan Desmond Ng.

15Malaysia The Son


* Watak Utama : Tong Yeon Choy, Leong Kuan Meng * Watak Pembantu : Linda Salim, Datuk Zaid Ibrahim * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Desmond Ng * Sinematografi : Harold Goh, Andre Wan * Pengarah Seni : Bryan Ng * Penyunting : Mindy Wong * Bunyi : Guru * Video Pasca Penerbitan : Mirage Post * Audio Pasca Penerbitan : Fuse Audio * Terjemahan : Copyleft Studio

15Malaysia

The Making Of 15Malaysia The Son


Technorati Tags: , , , , ,

15Malaysia - Halal

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Ia terdiri daripada 15 filem pendek dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Halal merupakan filem pendek yang kelima disebarkan melalui internet ini adalah kisah komedi yang memaparkan demonstrasi menyembelih ayam mengikut cara Islam yang sebenarnya.

Filem pendek bertajuk Halal ini adalah arahan Liew Seng Tat dan Adibah Noor pemegang watak utamanya.

15Malaysia Halal


* Watak utama : Adibah Noor * Watak pembantu : Chin Moi, Mark Teh, Sarah Lian, Danny Lim, Lee Kai Yin, Ahmad Yazid, Zan Azlee, Raymond Phathanavirangoon, Chin Khin Yeow, Chua Thien See, Wong Tuck Cheong, Ojan, Suddin Lappo, Ng Ken Kin, Kannan Thiagarajan, Fry Hew, Leroy Low, Euro Chee, Tan Chui Mui, Foo Fei Ling * Penerbit eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Liew Seng Tat * Sinematografi : James Lee * Pengarah seni : Chin Khin Yeow * Penyunting :
Liew Seng Tat * Muzik : Suddin Lappo * Bunyi : Soundwise * Audio pasca penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio

15Malaysia

The Making of 15 Malaysia Halal


Technorati Tags: , , , , , , ,

15Malaysia - House

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. House atau Rumah merupakan filem pendek keempat daripada 15 filem pendek yang dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Filem-filem ini adalah filem ringkas yang dihasilkan oleh 15 suara hati rakyat Malaysia untuk Malaysia.

House (rumah) ini mengisahkan seorang kanak-kanak India yang membina sebuah model rumah untuk ditunjukkan di sekolahnya. Memaparkan keadaan sosio ekonomi yang dialami kebanyakan rakyat di Malaysia. Filem pendek 15Malaysia House ini diarahkan oleh Linus Chung.

15Malaysia House


* Watak Utama : Varma Arasu, Sukarnia Venugopal * Watak Pembantu : Sehnthan Arumugam, Ivan Song, Ryan Abdullah, Neo Soon Kian, Chiew Kin Wah, Mustapha Mahidin, Eddie Tuen, Yasmin Ahmad * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Linus Chung * Sinematografi : Aaron Chung * Pengarah Seni : Dennis Teh * Penyunting : Linus Chung, Pete Teo * Bunyi : Sentil Muniady * Video Pasca Penerbitan : Linus Chung * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making of 15Malaysia House


Technorati Tags: , , , , , , ,

15Malaysia - The Tree

15Malaysia adalah 15 filem pendek mengenai Malaysia hasil gabungan usaha antara pengarah, pelakon, ahli muzik, dan ahli politik tempatan di Malaysia. The Tree (Pokok) merupakan filem pendek ketiga daripada 15 filem pendek tersebut.

The Tree ini berkenaan tazkirah yang disampaikan dengan caranya yang tersendiri oleh pemimpin rohanian yang paling berpengaruh di Malaysia, Nik Aziz tentang cara berniaga yang beretika menurut Islam. Filem pendek ini adalah arahan Amir Muhammad dan YAB Nik Aziz Nik Mat menjadi watak utamanya.

15Malaysia The Tree


* Watak Utama : Y.A.B. Nik Abdul Aziz Nik Mat * Penerbit Eksekutif : Packet One Networks * Penerbit : Pete Teo * Pengarah : Amir Muhammad * Sinematografi : Shan * Penyunting : Azharr Rudin * Bunyi : Hardesh Singh * Audio Pasca Penerbitan : The Ark Studios * Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of The Tree


Technorati Tags: , , , , , , ,

15Malaysia - Chocolate

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Chocolate merupakan filem pendek kedua daripada 15 filem pendek yang dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Filem-filem ini adalah filem ringkas funky yang dihasilkan oleh 15 suara hati rakyat Malaysia untuk orang Malaysia.

Chocolate adalah sebuah kisah yang mengingatkan kita bahawa walaupun berlaku pelbagai pertembungan di Malaysia, hidup tetap diteruskan – walaupun tidak semuanya manis. Filem pendek ini adalah arahan Yasmin Ahmad dan pelakon utamanya pula adalah Sharifah Amani dan Hon Kah Hoe.

15Malaysia Chocolate


Watak utama : Sharifah Amani, Hon Kah Hoe, Watak pembantu : Tan Mei Ling, Penerbit eksekutif : Packet One Networks, Penerbit : Pete Teo, M. Effendy, Pengarah : Yasmin Ahmad, Sinematografi : Wong Chun Leong, Penyunting : Raja Affandi Raja Jamaluddin, Muzik : Pete Teo, Bunyi : Ad Audio, Video pasca penerbitan : Tiger Tiger, Audio pasca penerbitan : The Ark Studios, Terjemahan : Copyleft Studio
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Chocolate


Technorati Tags: , , , , ,

15Malaysia - Potong Saga

15Malaysia adalah satu projek filem pendek. Ia terdiri daripada 15 filem pendek dihasilkan oleh 15 pembikin filem Malaysia. Filem-filem ini bukan sahaja memaparkan isu-isu sosio-politik di Malaysia, malah turut menampilkan nama-nama terkemuka di Malaysia termasuklah pelakon, ahli muzik dan ahli politik yang dikenali ramai. Anda boleh anggapkan filem-filem ini sebagai filem ringkas funky yang dihasilkan oleh 15 suara hati rakyat Malaysia untuk orang Malaysia.

Potong Saga merupakan filem pendek yang pertama daripada 15 filem pendek lain. Ia adalah filem jenaka tentang seorang pemuda Cina yang diberi panduan yang salah untuk membuka akaun bank Islam.

15Malaysia Potong Saga


Pelakon utama filem ini adalah Namewee dan pengarah filem pendek ini adalah Ho Yuhang.
15Malaysia

The Making Of 15Malaysia Potong Saga


Technorati Tags: , , , , ,

Kejayaan Menyusuli Kesilapan

Sesuatu kejayaan itu bukan bermakna tidak pernah membuat kesilapan tetapi mencuba sekali lagi dengan lebih baik setiap kali setelah membuat kesilapan.

Orang yang tidak pernah atau takut membuat sebarang kesilapan jarang berjaya. Apabila kita melakukan sesuatu kerja yang besar, kita berkemungkinan membuat beberapa kesilapan-kesilapan besar atau kecil. Selagi kita belajar daripada kesilapan tersebut, kita boleh maju kehadapan.

Bagi mereka yang takut membuat kesilapan, mereka hanya membataskan diri mereka untuk membuat kerja-kerja biasa sahaja. Kejayaan yang diperolehi pun kejayaan biasa juga.

Misalnya jika seseorang itu ingin menguasasi pertuturan dalam sesuatu bahasa, mereka perlu berlatih bertutur di dalam bahasa berkenaan. Jadi pada peringkat awal orang tersebut pasti membuat kesilapan, malah mungkin ditertawakan orang kerana salah sebutan. Walaupun begitu lambat laun orang tersebut pasti akan dapat menguasai bahasa berkenaan.

Cuba bayangkan jika dia takut untuk bertutur dengan bahasa yang dipelajari kerana malu membuat kesilapan, bolehkah dia mahir dalam bahasa tersebut?

Technorati Tags: , , , ,

Pantun Berkait II

Angsana berpucuk di atas batu,
Pucuk digangsa beribu-ribuan,
Ada bunga di naung batu,
Kuntumnya kaca tangkainya embun.

Pucuk di gangsa beribu-ribuan,
Kembang diuca balik beroleh,
Kuntumnya kaca tangkainya embun,
Dipandang sahaja diambil tak boleh.

Kembang diuca balik beroleh,
Tambang garam di dalam sekoci,
Dipandang sahaja diambil tak boleh,
Bertambah geram di dalam hati.

==#==#==#==#==#==#==#==#==

Gemilang cahayanya cincin permata,
Memetiklah buah melempari,
Jika hilang duli mahkota,
Di mana patik membawa diri?
Memetiklah buah melempari,
Burung enggang terbang ke batu,
Di mana patik membawa diri,
Patik nan dagang anak piatu.

Burung enggang terbang ke batu,
Selasih tambah dalam puan,
Patik nan dagang anak piatu,
Harapkan kasih Yang Dipertuan.

Technorati Tags: , ,

Pantun Berkait I

Inilah surat baharu dikarang,
Tukangnya tidak tahukan erti,
ada sekali bunga yang kembang,
Tumbuh di mercu gunung yang tinggi.

Tukangnya tidak tahukan erti,
Bahasanya orang cara Melayu,
Tumbuh di mercu gunung yang tinggi,
Bunganya kembang cahayanya ungu.

Bahasanya orang cara Melayu,
Tukang nan tidak ertikan makna,
Bunganya kembang cahayanya ungu,
Kumbang nan tidak berhenti ke sana.

==#==#==#==#==#==#==#==#==

Bunga dikarang di dalam kebun,
Permainan raja di Jeddah,
Sahaya tidak tahu berpantun,
Mohonkan ampun barang yang salah.

Permainan raja di Jeddah,
Anak-anak mandi di sangku,
Mohonkan ampun barang yang salah,
Minta maaf madah terlalu.

Technorati Tags: , ,

Untuk Menjadi Juara Perlu Bersifat Juara

Semua orang ingin menjadi juara tetapi untuk menjadi juara kita hendaklah terlebih dahulu berfikir, bercakap dan belajar seperti seorang juara. Dengan menyakini bahawa kita boleh menjadi juara, peluang untuk meraih kejayaan lebih terserlah.

Juara memang berbeza dengan bukan juara. Sebagai contoh, seorang pelajar yang cemerlang lazimnya berfikiran positif. Mereka percaya apa yang dilakukan akan membuahkan hasil. Mereka juga rajin belajar serta menggunakan strategi dan kemahiran belajar yang berkesan. Kesimpulannya orang lain akan study hard manakala mereka akan study smart.

Oleh itu jika kita ingin menjadi juara atau seorang yang cemerlang, awal-awal lagi kita perlu memupuk sifat berkenaan. Malangnya ramai daripada kita yang sentiasa meragui keupayaan diri sendiri; apa jua tindakan yang diambil hanya bersifat sementara sahaja seperti peribahasa hangat-hangat tahi ayam sahaja. Di samping tiada tidak ada cara atau strategi melaksanakan sesuatu dengan cara yang betul dan efektif. Maka ini akan menyukarkan untuk kita untuk berjaya dengan cemerlang.

Kita perlulah menjadikan mereka yang cemerlang dan juara sebagai model ikutan kita dalam apa jua yang kita lakukan. Jika kita mula berfikir, bertindak dan berusaha seperti juara, lama-kelamaan, kita juga turut menjadi juara.

Technorati Tags: , , , , , ,

Pantun Enam Dan Lapan Baris

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah serkah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi?

Ambillah daun tapak leman,
Jangan ditaruh di atas papan,
Letak di jalan tiga simpang;
Sepakat roh dengan iman,
Takluk badanku pada tuan,
Tuanlah tempat saya menumpang.

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entah tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entah tidak,
Entahkan makin bertambah sayang.

Tuan menembak gunung Sumpu,
Saya menembak gunung Ransan,
Cerana Manggung jatuh terletak,
Ambil letakkan atas peran;
Tuan membuhul jangan membuku,
Mengulas jangan mengesan,
Usah dikembang depan orang banyak,
Kembang di bantal ketiduran.

Bagus rupanya bunga melur,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;
Pahar cerek sudah teratur,
Cawan mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

Technorati Tags: , , , , ,

Jangan Bertangguh Kerja

Sesuatu kerja penting yang boleh disiapkan hari ini perlu disiapkan hari ini perlu disiapkan hari ini juga. Hindarkan tabiat menunda-nundakannya ke hari esok.

Memang terdapat sikap seseorang yang menunda-nundakan sesuatu kerja walaupun tahu kerja itu penting dan perlu disegerakan tetapi memilih untuk tidak melakukan kerja berkenaan. Malah dia membuat kerja lain yang kurang penting.

Sebagai contoh anda diberi tempoh dua minggu untuk membuat persiapan satu pembentangan kertas kerja, tetapi anda sengaja tidak membuat apa-apa persediaan sehinggalah dua tiga hari sebelum hari yang ditetapkan. Walaupun mempunyai kelapangan sebelum itu, anda menghabiskan masa membuat kerja-kerja lain yang kurang penting.

Tabiat menunda-nundakan kerja hari ini ke hari esok cukup merugikan kerana kerja esok akan ditunda kepada lusa dan kerja lusa akan ditunda lagi kepada hari berikutnya sehinggalah kesempatan yang ada terbuang begitu sahaja.

Untuk berjaya pastikan agar apa jua kerja penting yang boleh dibuat hari ini diselesaikan secepat mungkin supaya kita sempat membuat sesuatu kerja sebaik mungkin.

Technorati Tags: , , , , , ,

Petua Menambahkan Seri Wajah

Wajah atau muka merupakan bahagian badan yang paling mendapat perhatian. Oleh itu terdapat beberapa petua untuk menambahkan seri wajah seperti berikut;
  • Giling hingga lumat tujuh mata kunyit, segenggam pegaga, sedikit beras dan segenggam cekur manis. Sebelum mandi, gosokkan bancuhan tadi pada seluruh muka dan badan secara perlahan-lahan hingga daki keluar.
  • Goreng secawan beras yang telah dibasuh bersama sedikit kunyit hidup sehingga berwarna hitam. Biarkan sehingga bau beras dan kunyit itu naik. Sapu dan gosokkan ramuan tersebut pada seluruh badan termasuk muka. Amalkan selalu sebelum mandi.
  • Basuh dan tumbuk lumat beberapa helai daun pegaga. Perah beberapa titis air limau lalu digaul rata. Sapukan campuran tersebut ke seluruh muka sebelum dibilas dengan air bersih.
  • Goreng secawan beras tanpa minyak hingga kekuningan. Kisar hingga lumat. Campurkan dengan sedikit putih telur, air limau dan satu sudu teh air kunyit. Tepekkan pada muka kecuali bahagian mata.
  • Rebus kurma merah seberapa banyak yang anda mahu. Air rebusan tersebut dicampurkan satu sudu besar madu dan dua sudu besar jus buah prun. Minum dua kali sehari.
  • Bersihkan sebuku ibu kunyit dan dibuang kulitnya, kemudian bakar sehingga layu dan ditumbuk halus. Campur dengan suku cawan air dan ditapis sebelum diminum air tersebut. Ibu kunyit ini hanya diminum sekali sahaja selepas ibu-ibu melahirkan anak.
  • Parut 1/3 lobak merah. Lumurkan parutan tadi ke seluruh wajah dan biarkan selama 15 hingga 30 minit. Kemudian bilas. Lakukan sebelum tidur.
  • Rendam kacang soya kemudian kisar dan didihkan. Masukkan air didihan tersebut ke dalam loyang dan wapkan muka anda di dalam kepulan asapnya, Buatlah sekerap yang mungkin untuk perubahan yang ketara.
  • Rendam serbuk teh semalaman. Sapukan serbuk tersebut ke seluruh muka pada keesokan harinya sambil berselawat tiga kali sebelum mandi pagi. InsyaAllah, kulit yang kasar akan beransur-ansur menjadi licin, halus dan berseri.
  • Rebus segenggam daun inai hingga air bertukar kemerah-merahan. Apabila air rebusan sudah sejuk, basuh muka menggunakannya sambil selawat tiga kali. Amalkan tiga malam berturut-turut dan anda akan lihat perbezaannya.
  • Gunakan buah tomato dan timun. Potong buah tersebut nipis-nipis dan tampalkan pada muka. Biarkan selama 10 minit. Kemudian barulah dicuci dengan air sejuk.
  • Bancuh dua sudu tepung sagu ubi dengan sedikit air pada kepekatan sederhana. Sapukan ke seluruh muka kecuali bahagian sekitar mata sebelum tidur dan dibilas pada pagi esoknya. Amalkan setiap malam selama dua minggu berturut-turut.
Technorati Tags: , , , , ,

Cari Kawan Positif Bukan Yang Negatif

Kawan yang positif membantu kita untuk menjadi seorang yang bersifat positif dan kawan yang negatif akan mempengaruhi kita untuk turut bersifat negatif. Oleh itu, berhati-hatilah semasa memilih kawan. Mereka boleh membantu atau mereka boleh membantutkan kita.

Bersikap positif bermakna kita meyakini bahawa apa sahaja yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, lazimnya akan berjaya. Bersikap negatif pula bermaksud, walau sebanyak mana pun usaha yang dicurahkan, kita meragui hasil yang bakal diperolehi.

Di sini kita dapat rumuskan bahawa rakan yang negatif sentiasa meragui apa sahaja tindakan yang bakal kita ambil. Dia bukan sahaja tidak memberi semangat, malah mematikan semangat kita. Jika kita sentiasa berdamping dengan mereka, lama-kelamaan kita akan turut menjadi orang yang negatif.

Pilihlah rakan yang positif. Mereka turut meyakini kebolehan kita, selalu memberi semangat dan akan bersama-sama kita berusaha mencapai matlamat yang ditetapkan. Sikap saling sokong-menyokong ini dapat mematangkan kita untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam hidup ini.

Technorati Tags: , , , , ,

Petua Hilangkan Kulit Muka Berminyak

Berikut adalah beberapa petua menghilangkan dan mengurangkan kulit muka yang berminyak;
  • Parut epal hingga halus dan sapukan pada muka. Biarkan selama 15 minit selepas itu cucilah dengan air suam. Lakukan tiga kali seminggu.
  • Rendam beras anggaran setengah gelas, campurkan daun cermai dan ibu kunyit. Kesemuanya bahan ini hendaklah dikisar bersama. Bersihkan muka terlebih dahulu dan sapukan bahan yang telah dikisar itu setiap kali sebelum tidur.
  • Campurkan sedikit madu lebah dengan air perahan asam gelugur, jika tiada, bolehlah digantikan dengan air limau parut. Sapukan campuran bahan tersebut ke seluruh muka dan biarkan kering. Kemudian bilaslah dengan menggunakan air bersih.
  • Ramaskan daun sirih di dalam secawan air. Selepas itu, sapukan air ramasan itu pada seluruh muka dan biarkan selama 15 minit. Kemudian bilas dengan air suam. Lakukan tiga kali seminggu berturut-turut untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
  • Campurkan tepung dal dengan pati susu dan sapukan pada muka. Biarkan sapuan itu sehingga kering. Selepas itu bilas muka dengan air bersih.
  • Rendam sehelai tuala kecil ke dalam air suam kemudian perah dan tekapkan ke muka. Setelah itu laplah bersih-bersih. Lakukan setiap malam sebelum tidur.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Hanya Perlu Ubah Diri Sendiri

Satu hakikat hidup yang perlu kita fahami: Kita, iaitu diri sendiri yang terlebih dahulu perlu berubah dan bukan orang lain sekiranya hendak berjaya.

Ramai orang hanya menunggu orang lain berubah terlebih dahulu sebelum mereka berubah. Sikap seperti ini; "hanya selepas cikgu pandai mengajar (orang lain berubah), baru aku hendak belajar bersungguh-sungguh (aku pula berubah)" tidak akan membawa kita ke mana-mana, kecuali kegagalan.

Salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang ialah mereka sendiri tidak mahu berubah tetapi mengharapkan orang lain berubah.

Sebagai contoh, kita ambil kes seorang pelajar yang menghadapi masalah menguasai matapelajaran Matematik. Kebetulan guru yang mengajar Matematik tidak berjaya memberi kefahaman yang baik dan kawan-kawannya pula suka suka bermain-main ketika guru mengajar.

Walaupun tahu kelemahan dirinya, dia tetap tidak mahu berubah selagi guru dan kawan-kawannya tidak berubah. Dia berjanji untuk berubah hanya apabila guru memperbaiki pengajarannya dan rakan-rakannya turut memberi tumpuan di dalam kelas.

Sikap seperti ini tidak betul kerana yang perlu berubah terlebih dahulu bukan orang lain tetapi diri sendiri. Tidak perlu menunggu guru dan kawan-kawan berubah, kita harus berikhtiar dan mencari pelbagai jalan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Kesimpulannya, jangan tunggu orang lain berubah, kita sendiri yang harus berubah terlebih dahulu.

Technorati Tags: , , , , ,

To Get The Best Always Give The Very Best

Bagi mendapatkan yang terbaik, apa sahaja yang dilakukan, mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan sebaik munngkin.

Apabila melakukan sesuatu kerja sebaik yang terdaya, selalunya hasil yang diperolehi adalah yang terbaik dan membanggakan.

Sebagai contoh, kalau kita memasukkan RM80,000 ke dalam bank, kita boleh keluarkan RM80,000 dari bank yang berkenaan. Andaikata jika jumlah yang telah dimasukkan cuma RM800, tentu mustahil kita dapat keluarkan lebih daripada itu, apatah lagi RM80,000.

Begitu juga dalam menuntut ilmu, jika kita belajar sedikit maka markah yang diperolehi juga sedikit. Sekiranya kita berusaha bertungkus-lumus dan bersedia bersungguh-sungguh menghadapi peperiksaan nescaya markah yang diperolehi pun meningkat dengan lebih ketara.

Ini jelas menunjukkan lagi gigih kita berusaha, maka lebih baiklah peluang kita.

Kalau kita tekun belajar hanya sebulan dua terakhir sebelum peperiksaan walhal kita diberi masa hampir satu tahun, janganlah terlalu mengharapkan prestasi yang cemerlang. Hasil yang kita perolehi pada kebiasaannya adalah selaras dengan usaha yang dicurahkan.

Oleh itu "to get the best, I always give my very best".

Technorati Tags: , , , ,

Petua Mengelakkan Dan Menyembuhkan Selesema

Petua bagi mengelakkan daripada terkena selesema adalah dengan mandi air suam di waktu petang. Kemudian amalkan minum air halia seminggu sekali. Selain itu, cucilah lubang hidung dengan air bersih setiap kali mandi.

Manakala kalau sudah dijangkiti selesema, di antara petua untuk menyembuhnya adalah;
  • Ambil sebuku halia yang telah dibersihkan. Hidu baunya.
  • Ambil secawan air didihan beras (waktu mendidih). Biarkan suam barulah diminum. Amalkan selalu sehingga rasa gatal atau kering tekak itu sembuh.
  • Letakkan sedikit kapur sirih, dua titik minyak kayu putih di atas sehiris limau. Panggang dan perah airnya. Kemudian minum sekali sehari.
  • Selesema pada musim hujan atau panas terik boleh diubati dengan cara membasahkan ubun-ubun kepala. Ulangi beberapa kali.
Technorati Tags: , , , ,

Pantun Bersanding

Waris perempuan
Tatang puan tatang cerana
Tatang biduk Seri Rama
Datanglah tuan datanglah nyawa
Datanglah duduk bersama-sama

Diri-diri pagar Cik Naik
Galu-galu anak tangganya
Encik terdiri marilah naik
Saya tak tahu menyebut namanya

Nak tajuk tajuklah puan
Ramunggai batang berduri
Nak masuk masuklah tuan
Timbanglah cukai adat negeri

Waris lelaki
Belatuk lagi terbang
Ini pula si burung nuri
Hukum datuk lagiku timbang
Inikan pula cukai negeri

Technorati Tags: , , ,

Pantun Meminang

Waris lelaki
Rumah kecil paranya lima
Tempat menyalai ikan kerici
Alahai Encik saya bertanya
Berapakah harga intan di sini?

Waris perempuan
Tali kail panjangnya lima
Akan pengail ikan tenggiri
Tujuh tahil sekati lima
Itulah harga intan di sini

Waris lelaki
Kalau tidak rengas di tanjung
Pandan di hulu direbahkan
Kalau tidak emas dikendong
Badan dahulu diserahkan

Waris perempuan
Kalau tiada rengas di tanjung
Ambil beringin pagarkan dulang
Kalau tiada emas dikendong
Janganlah ingin anak orang

Waris lelaki
Ribu-ribu batang terpanggung
Akan duduk batang rumbia
Walau beribu hutangku tanggung
Akanku pinang idaman dara

Waris perempuan (jika pinangan diterima)
Sapu tangan jatuh ke laut
Jatuh dengan kalas-kalasnya
Panjang tangan sahaya menyambut
Satu tidak dengan balasnya

Waris perempuan (jika pinangan ditolak)
Cik Ungku mudik ke hulu
Ambil kain basuh nilanya
Kalau yang itu biarlah dulu
Kalau yang lain barang bilanya

Technorati Tags: , , ,

Pantun Dagang Melarat

Apa digulai orang di ladang
Pucuk kacang sela-bersela
Apakah untung anak dagang
Hari petang tangga berhela

Orang Padang mandi ke gurun
Mandi berlumur bunga lada
Hari petang matahari turun
Dagang berurai air mata

Banyak kajang perkara kajang
Kajang saya mengkuang layu
Banyak dagang perkara dagang
Dagang saya terbuang lalu

Tanjung Katung jauh ke laut
Nampak dari Belakang Mati
Terapung-apung di tengah laut
Dipukul ombak jatuh ke tepi

Kain songket panjang sembilan
Panjang serta kepalanya
Tuan umpama pertama intan
Saya menumpang akan cahayanya

Technorati Tags: , , ,

Menetapkan Matlamat Hidup

Cara untuk menetapkan matlamat hidup;
  1. Buatlah matlamat yang spesifik
  2. Jadikan matlamat itu suatu yang dapat dinilai
  3. Jadikan ia realistik
  4. Tetapkan tempoh masa yang jelas dan munasabah
  5. Serasi dengan jiwa
  6. Pecah-pecahkan matlamat
  7. Sebarkan kepada orang lain
  8. Kita mesti bertanggungjawab
  9. Berdisplin dan istiqamah

"Sudah menjadi fitrah masa bahawa sesuatu perkara akan berlaku dalam sesuatu masa. Oleh itu, rancanglah sesuatu"

Secara ringkasnya, ada tiga perkara utama dalam perancangan hidup.

Pertama adalah sasaran yang jelas.
Kedua perancangan.
Ketiga tindakan.

Apabila kita hendak berjaya dalam hidup, lakukanlah semua perkara ini.

Technorati Tags: , , , ,

Menyusahkan Diri Dalam Hal Yang Tidak Perlu

Allah berkata, "Katakan wahai Muhammad, "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini. Aku bukan daripada kalangan orang yang mereka-reka arahan.""
~ Surah Sad, ayat 86 ~

Abdullah bin Umar melaporkan, katanya, "Kami dilarang menyusahkan diri dalam hal yang tidak perlu,"
~ Bukhari ~

Masruq melaporkan, katanya, "Kami masuk berjumpa dengan Abdullah bin Mas'ud. Katanya, "Wahai sekalian manusia, sesiapa yang tahu mengenai sesuatu perkara, katakan apa yang dia tahu itu. Sesiapa yang tidak tahu, katakan, 'Allah yang lebih mengetahui'. Kerana sebahagian daripada ilmu adalah dengan menyebut 'Allah yang lebih mengetahui' dalam perkara yang saudara tidak tahu."
~ Bukhari ~

Allah yang maha tinggi berkata kepada utusannya, "Katakan wahai Muhammad, "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini. Aku bukan daripada kalangan orang-orang yang mengada-adakan arahan.""
~ Bukhari ~

Technorati Tags: , , , ,

Apa Erti Disiplin?

Disiplin adalah memberi tumpuan sepenuhnya ke atas sesuatu tugas sehingga ia selesai dikerjakan dengan sempurna.

Kita perlu tanya diri sendiri, "Apakah tugas utama yang perlu saya kerjakan dengan sempurna sekarang?" Jika kita sentiasa peka dengan soalan berkenaan, kita akan sentiasa memberi perhatian kepada tugas-tugas utama kita. Dengan berbuat demikian nescaya kejayaan dapat dicapai dengan lebih mudah. Justeru, untuk berjaya kita mesti berdisiplin.

Ramai orang memulakan sesuatu tugas dengan baik, namun gagal menghabiskannya. Kerja tersangkut di tengah jalan. Ada sahaja perkara yang mengganggu mereka. Mereka ini sebenarnya kurang berdisiplin.

Jadi berdidiplin bermakna apa sahaja tugas yang kita lakukan, kita laksanakannya sehingga selesai. Kita tidak mudah diselewengkan atau dilencongkan untuk membuat kerja-kerja lain yang tidak berkaitan yang boleh menjejaskan kerja utama kita. Pelajar yang berdisiplin tahu bahawa salah satu tugas utama di sekolah ialah berusaha untuk memperoleh keputusan cemerlang. Dari awal tahun lagi kita harus belajar bersungguh-sungguh sehinggalah ke hujung tahun.

Tanpa disiplin kita mudah diganggu oleh pelbagai aktiviti bukan akademik yang lain, hobi, kawan-kawan dan sebagainya. Jadi berdisiplin bermakna kebolehan memberi tumpuan ke atas sesuatu tugas sehingga selesai dikerjakan dengan sempurna.

Technorati Tags: , , , , ,

Juara Tidak Pernah Berputus Asa

Mengaku kalah adalah mudah, yang sukar ialah bangun semula selepas kalah. Dua kali jatuh, tiga kali bangun, lima kali jatuh, enam kali bangun. Itulah sifat seorang juara. Motto mereka ialah "Biar kalah tetapi jangan mengalah".

Oliver dan Wilbur Wright adalah orang pertama yang mencipta kapal terbang. Sebelum dapat mengemudikan kapal terbang buatan sendiri dengan jayanya di Kittyhawk, Amerika Syarikat pada tahun 1904, mereka pernah gagal beberapa kali. Namum mereka tidak pernah berputus asa.

Itulah salah satu sifat yang dimiliki oleh mereka bergelar juara. Mereka bukan sahaja hebat dalam erti kata menguasai sepenuhnya dalam bidang yang diceburinya itu, malah mereka tidak mudah berputus asa. Mereka tidak mudah menyerah kalah.

Di dalam kehidupan seharian, sifat ini dapat diterjemahkan dalam erti kata, ketika menghadapi apa jua kesukaran dalam apa yang dilakukan, kita jangan mudah berputus asa. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan mendapatkan bantuan yang perlu agar perkara berkenaan dapat dikuasai. Berputus asa atau mengalah mudah sahaja. Malang sekali jika itu pilihan orang ramai. Biar kalah tetapi jangan mengalah!

Technorati Tags: , , , , , , ,

Siapa Takbur Dia Dikeji

Mansur bin Ammar Rahimahullah Taala berkata; terdapat kata-kata hikmah;
  • Sesiapa yang melihat-lihat keaiban diri, dia tdak akan peduli keaiban orang lain.
  • Sesiapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan suatu apa pun.
  • Sesiapa yang reda rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada di tangan orang lain.
  • Sesiapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.
  • Sesiapa yang menggali telaga untuk saudaranya, dia akan terjatuh ke dalamnya.
  • Sesiapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya).
  • Sesiapa yang memendamkan sesuatu perkara, dia akan mendapat celaka.
  • Sesipa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.
  • Sesiapa yang tidak menggunaka akalnya, dia akan dihina.
  • Sesiapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.
  • Sesiapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan (perkara),dia akan berasa jemu.
  • Sesiapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati
  • Sesiapa yang tahu ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.
  • Sesiapa yang bersahabat dengan oramg rendah akhlak, dia dipandang hina.
Technorati Tags: , , ,

Khasiat Pokok Betik

Betik ataupun nama saintiknya Carica Papaya L adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang kayu yang lembut, tegak dan biasanya tidak mempunyai cabang. Pokok betik juga mempunyai pelbagai khasiat. Betik juga sangat berkhasiat jika dimakan.

Di samping itu berikut adalah khasiat lain betik;
  • Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
  • Daun betik terutama pucuknya yang muda sering direbus untuk dijadikan ulam. Selain itu, air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
  • Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
  • Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.
Technorati Tags: , , , , ,