Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Renungan Untuk Ibu Dan Anak

Ibu Kita dan Kita Sebagai Ibu
  • Lapangnya masa kita ada kaitan dengan keberkatan hidup kita. Kita adalah di bawah siksa Allah bila ada masa untuk buat benda tidak baik tetapi tidak ada masa nak buat yang baik.
  • Jika kita tak pernah kecukupan duit maksudnya kita disiksa Allah.
  • Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang. Oleh itu ibu-ibu jangan jatuhkan air mata dan anak-anak jangan buat ibu jatuhkan air mata. Menangislah kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak.
  • Kalau balik tengah malam, buka lampu tengok dan tatap muka ibu, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya.
Ada 3 mata yang tak dijilat api neraka.
  • Melihat kaabah sehingga menitis air mata.
  • Membaca al-Quran sehingga menitis air mata.
  • Memandang wajah ibu yang sedar tidur atau sedar sehingga berlinang air mata.
3 orang yang kita perlu tengok dan selalu pandang dalam hidup, tengok masa tidur!
  • Anak
  • Ibu
  • Suami.
Kalau kita ada perselisihan faham dengan suami sehingga nak bercerai, tataplah muka suami kita ketika dia tidur - kalau masih terbit perasan kasih, sayang, cinta, rindu atau simpati, janganlah bercerai tetapi jika tiada timbul rasa itu semua - maksudnya jodoh dah memang tidak ada, bolehlah teruskan apa yang patut.

Orang yang selalu menatap dan memandang ibunya tidak akan menangis di hari kematian ibunya, cuma menangis dalam hati sahaja. Oleh itu bagi sesiapa yang masih ada ibu, pandanglah ibumu selalu.

Adalah menjadi satu dosa jika kita mengguna jari telunjuk untuk menunjukkan sesuatu pada ibu.

Tenanglah Wahai Hati

Disediakan oleh Nurizzati Bt Mohd Alip

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak. Tapi.. kenapa hati kita tak gembira? Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita minta sungguh-sungguh pada Allah. Tapi.. kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita? 

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan? 

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah minta ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih.. minta Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Penjagaan Kesihatan Dengan Ramadan

Sebahagian dari pengisian Ramadan adalah ibadah puasa. Sebab itu bulan Ramadan disebut juga sebagai "Syahrus Siyam" iaitu bulan puasa. Ibadah puasa adalah ibadah yang sangat unik. Hanya dengan meninggalkan makan dan minum serta sesuatu yang membatalkannya sudah dianggap berpuasa. Allah s.w.t amat sayang kepada hambanya, maka diwajibkan berpuasa supaya manusia terdidik untuk menjaga kesihatan. Melakukan puasa adalah salah satu dari cara untuk memelihara kesihatan. Pakar-pakar kesihatan telah mengakui hakikat bahawa menjaga pemakanan adalah faktor terpenting menentukan tahap kesihatan. Dalam hal ini, Rasulullah telah menyatakan dengan tegas sebagai satu jaminan dalam hadisnya:

"Berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat"

Bulan Puasa
Berpuasa mempunyai hubungkait dengan makan dan minum. Hanya apabila kita berpuasa, jadual masa makan dan minum telah berubah. Bersahur adalah ganti kepada sarapan pagi manakala berbuka puasa adalah ganti makan malam. Walau bagaimanapun yang pasti makan tengahari tiada pengganti. Cuba kita bayangkan apabila kita mengikuti seminar atau kursus yang diadakan di hotel atau di mana sekalipun. Jadual makan adalah padat. Bermula dengan sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan minum malam.


Peristiwa Penting Dalam Muharam

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang pernah berlaku sepanjang bulan Muharam :

  1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
  2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Di samping itu pada 10 Muharam sahaja telah berlaku beberapa peristiwa :

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Rujuk juga Doa Akhir Tahun Hijrah dan Doa Awal Tahun Hijrah

Technorati Tags: , , , , , , ,

Beribadah Secara Ikhlas

Allah berkata. "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan beribadah secara ikhlas kepada Allah dan berpegang teguh kepada Allah."
~ Surah Al-Bayyinah, ayat 5 ~

Allah berkata, "Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perbuatan mengungkit-ungkit dan berkelakuan yang menyakiti, seperti rosaknya pahala sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak)."
~ Surah Al-Baqarah, ayat 264 ~

Allah berkata lagi, "Mereka hanya bertujuan menunjuk-nunjuk memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali,"
~ Surah An-Nisak, ayat 142 ~

Abu Hurairah melaporkan, katanya, "Saya pernah mendengar Rasulullah berkata, "Allah yang Maha Mulia berkata, "Aku adalah Tuhan yang satu, tidak memerlukan sebarang sekutu. Sesiapa melakukan amalan untuk selain daripadaku, aku akan biarkan dia bersama sesuatu yang dia jadikan sekutuku itu."
~ Riwayat  Muslim ~

Technorati Tags: , , , , ,

Mencaci Demam

Jabir melaporkan, "Rasulullah masuk berjumpa Ummu Saib atau Ummu Musayyab. Beliau bertanya, "Mengapa puan menggigil, wahai Ummu Saib?"

Jawab Ummu Saib, "Demam. Semoga Allah tidak memberi kebaikan kepadanya!"

Rasulullah pun berkata, "Puan jangan mencaci demam kerana demam dapat menghapuskan kesalahan manusia, sama seperti relau dapat menghilangkan karat besi.""

- Muslim

Technorati Tags: , , , , ,

Mengambil Harta Anak Yatim

Allah swt berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka hanya menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala."

~ Surah An-Nisak, ayat 10 ~

Allah swt berfirman, "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik iaitu bagi mengawal dan mengembangkannya."

~ Surah Al-An'am, ayat 152 ~

Allah swt berfirman, "Dan mereka bertanya lagi kepadamu wahai Muhammad, mengenai masalah anak-anak yatim. Katakan, "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu perbuatan yang baik, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka, maka tidak ada salahnya kerana mereka itu adalah saudara-saudara seagama kamu, dan Allah mengetahui orang yang merosakkan harta benda mereka daripada orang yang hendak memperbaikinya."

~ Surah Al-Baqarah, ayat 220 ~

Abu Hurairah melaporkan, "Nabi Muhammad pernah berkata, "Jauhkan diri saudara-saudara daripada tujuh dosa yang boleh merosakkan!"

Sahabat-sahabat bertanya, "Wahai utusan Allah, apakah perkara-perkara itu?"

Nabi Muhammad menjawab, "Menyekutukan Allah, mengamalkan sihir, membunuh nyawa yang Allah haramkan kecuali dengan sebab yang dibenarkan, mengamalkan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada medan peperangan dan menuduh perempuan-perempuan beriman, sopan dan menjaga maruah diri melakukan zina."

~ Bukhari dan Muslim ~

Mengambil Semula Barang Yang Diberi

Abdullah bin Abbas melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata,

"Orang yang mengambil semula apa yang diberinya, umpama anjing yang menjilat semula muntahnya."

Dalam laporan lain oleh Muslim, Nabi Muhammad berkata,

"Perumpamaan orang yang mengambil semula sedekah yang diberi adalah seperti anjing muntah kemudian dia datang semula kepada muntahnya dan makan muntah itu."

Dalam laporan lain, Nabi Muhammad berkata,

"Orang yang mengambil semula barang yang sudah diberi adalah sama seperti orang yang menjilat semula muntahnya."

~ Bukhari dan Muslim


Umar bin Khattab melaporkan, katanya,

"Saya menderma seekor kuda kepada seseorang bagi digunakan dalam perang menegakkan agama Allah. Tetapi dia cuai terhadap kuda itu. Saya hendak membeli semula kuda itu dan saya fikir, dia akan menjualnya dengan harga yang murah. Saya pun meminta pandangan daripada Nabi Muhammad. Beliau menjawab,

"Saudara jangan beli. Saudara jangan ambil kembali sedekah yang saudara beri sekalipun saudara memberi satu dirham sahaja. Kerana orang yang mengambil kembali sedekahnya seperti orang yang menelan semula muntahnya.""

~ Bukhari dan Muslim

Technorati Tags: , , , , ,

Menyusahkan Diri Dalam Hal Yang Tidak Perlu

Allah berkata, "Katakan wahai Muhammad, "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini. Aku bukan daripada kalangan orang yang mereka-reka arahan.""
~ Surah Sad, ayat 86 ~

Abdullah bin Umar melaporkan, katanya, "Kami dilarang menyusahkan diri dalam hal yang tidak perlu,"
~ Bukhari ~

Masruq melaporkan, katanya, "Kami masuk berjumpa dengan Abdullah bin Mas'ud. Katanya, "Wahai sekalian manusia, sesiapa yang tahu mengenai sesuatu perkara, katakan apa yang dia tahu itu. Sesiapa yang tidak tahu, katakan, 'Allah yang lebih mengetahui'. Kerana sebahagian daripada ilmu adalah dengan menyebut 'Allah yang lebih mengetahui' dalam perkara yang saudara tidak tahu."
~ Bukhari ~

Allah yang maha tinggi berkata kepada utusannya, "Katakan wahai Muhammad, "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini. Aku bukan daripada kalangan orang-orang yang mengada-adakan arahan.""
~ Bukhari ~

Technorati Tags: , , , ,

Siapa Takbur Dia Dikeji

Mansur bin Ammar Rahimahullah Taala berkata; terdapat kata-kata hikmah;
  • Sesiapa yang melihat-lihat keaiban diri, dia tdak akan peduli keaiban orang lain.
  • Sesiapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan suatu apa pun.
  • Sesiapa yang reda rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada di tangan orang lain.
  • Sesiapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.
  • Sesiapa yang menggali telaga untuk saudaranya, dia akan terjatuh ke dalamnya.
  • Sesiapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya).
  • Sesiapa yang memendamkan sesuatu perkara, dia akan mendapat celaka.
  • Sesipa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.
  • Sesiapa yang tidak menggunaka akalnya, dia akan dihina.
  • Sesiapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.
  • Sesiapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan (perkara),dia akan berasa jemu.
  • Sesiapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati
  • Sesiapa yang tahu ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.
  • Sesiapa yang bersahabat dengan oramg rendah akhlak, dia dipandang hina.
Technorati Tags: , , ,

Melambatkan Bayaran Hutang

Allah swt berkata, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya(yang berhak menerimanya)."
- Surah an-Nisak, ayat 58

Allah swt berkata, "Kemudian apabila yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak perlu bersurat, saksi dan barang gadaian), maka orang(yang berhutang) yang dipercayai itu perlu menyempurnakan bayaran hutang diamanahkan kepadanya."
- Surah al-Baqarah, ayat 283

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata, "Perbuatan orang kaya menangguh-nangguhkan membayar hutang adalah perbuatan zalim. Oleh itu, apabila hutang saudara dipindahkan daripada seorang pemiutang kepada pemiutang yang kaya, saudara terimalah."
- Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Technorati Tags: , , , ,

Panduan Kesihatan Di Bulan Ramadhan

Oleh Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi semua umat Islam yang berkuasa tanpa mengira lelaki, perempuan, tua ataupun muda sebagai menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Di samping menunaikan ibadat kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan harapan ganjaran yang dijanjikan, melalui puasa individu muslim itu akan mendapat kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan nafsu.

Meskipun setiap orang berkewajipan menunaikan puasa dan janji-janji lipatan pahala Allah adalah besar, namun Islam memberi kelonggaran bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakannya.

Di dalam ayat 184, surah al-Baqarah, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:
"Sesiapa daripada kamu yang sakit ataupun dalam perjalanan (musafir), bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang dibuka pada hari yang lain."

Ayat di atas merupakan nas yang jelas tentang kekecualian yang diberikan terhadap orang-orang tertentu seperti para musafir dan orang sakit. Kekecualian seperti ini tidak harus digunakan bagi kepentingan peribadi dan duniawi. Bahkan mereka yang berupaya wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan cara berpuasa pada hari yang lain. Hanya bagi yang tidak berupaya langsung dibenarkan membayar fidyah.

Artikel ini sekadar membicarakan beberapa isu berkaitan masalah kesihatan dan penjagaannya dalam mengharungi bulan puasa agar kita dapat menyempurnakan ibadat yang mulia ini dengan baik. Terlebih dahulu ada baiknya kita bicarakan beberapa perkara berkaitan dengan rawatan, khususnya dalam perubatan moden.

Bagi penyakit akut, yang kadang-kadang datang dengan tiba-tiba dan memerlukan pengambilan ubat-ubatan secara oral, wajarlah pesakit mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsi. Pesakit harus berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa ia boleh menimbulkan komplikasi yang tidak diingini. Di antara penyakit-penyakit akut yang dimaksudkan ialah demam, batuk, sakit kepala, sakit perut dan seumpamanya.

Bagaimanapun, adalah baik sekali seandainya doktor perubatan boleh mengatur waktu supaya pesakit boleh terus berpuasa dan mengambil ubat di waktu berbuka atau sebelum imsak. Tetapi janganlah dengan sebab berpuasa menyebabkan penyakit pesakit menjadi lambat sembuh. Jikalau puasa mengganggu proses ke arah kesembuhan ataupun keadaan boleh memudaratkan si pesakit, pesakit harus mengambil ubat mengikut jadual dan menggantikan puasa di bulan yang lain.

Ada pesakit yang berpuasa dan menerima rawatan suntikan di mana ubat boleh diambil di waktu malam. Dalam hal ini suntikan ubat tidak membatalkan puasa. Bahkan pesakit boleh terus berpuasa walaupun dia dimasukkan air sodium chloride atau darah di hospital atas sebab-sebab kesihatan. Memasukkan bahan-bahan berkenaan berbeza dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang sudah tersedia.

Berkaitan dengan isu ini ialah rawatan penyakit mata seperti konjunktivitis. Terdapat di dalam rawatan moden dan homeopati di mana ubat diberi dengan cara menitiskan airnya ke dalam mata. Sekiranya rawatan ini dilakukan, jelas sekali ia membatalkan puasa kerana ia melibatkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan.

Bagi mereka yang mengidap penyakit-penyakit serius, keadaan yang menyebabkan mereka tidak boleh berpuasa mungkin disebabkan mereka terpaksa mengambil ubat-ubatan di dalam waktunya (termasuk sebelah siang) atau kemudaratan yang mungkin timbul kerana keadaan tubuh yang lemah atau berpenyakit. Bagi mendapatkan jawapan bagi persoalan sama ada mereka harus berpuasa atau tidak, perlulah si pesakit itu mendapat pandangan doktor dan ahli agama.

Di antara penyakit-penyakit serius mungkin termasuk pesakit jantung, pengidap AIDS, kanser, kencing manis, buah pinggang, epilepsi, asma, gastrik yang teruk, pendarahan dan lain-lain lagi. Komplikasi mungkin berlaku sekiranya mereka berpuasa berterusan selama sebulan. Umumnya mereka diberi keringanan meninggalkan puasa dengan menggantikannya pada bulan yang, melainkan mereka yang tidak boleh berpuasa langsung.

Kemungkinan memperoleh rawatan alternatif yang membolehkan seseorang itu berpuasa juga harus ditimbang sekiranya rawatan itu dapat membantu dan dapat memperbaiki keadaan kesihatan. Agama Islam tidak pernah membezakan di antara apa jua sistem rawatan yang wujud hari ini selagi ianya berkesan, tidak menyalahi akidah dan boleh membantu pesakit menjalani urusan harian atau beribadat. Kepercayaan bahawa setiap cabang ilmu itu datangnya daripada Allah subhanahu wa ta’ala adalah penting dalam memahami prinsip toleransi dalam memilih kaedah rawatan yang sesuai.

Seperkara lagi ialah berkaitan dengan prosedur diagnosis. Di dalam amalan perubatan moden terdapat bentuk-bentuk diagnosis yang mungkin membatalkan puasa. Sementara sebahagian daripada diagnosis itu pula boleh diatur terlebih awal. Di dalam hal ini, pesakit boleh merancang tarikh dan waktu diagnosis dengan doktor sekiranya kaedah diagnosis itu boleh membatalkan puasa.

Sebagai contoh ujian gastroskopi (gastroscopy), sigmoidoskopi (sigmoido-scopy) atau kolonoskopi (colonoscopy) adalah di antara kaedah diagnosis yang boleh membatalkan puasa. Sekiranya keadaan penyakit tidak mendesak, diagnosis boleh ditangguhkan atau dilakukan selepas bulan Ramadhan. Tetapi bagi kes-kes yang serius dan memerlukan tindakan segera, pesakit tidak harus menangguhkan temujanji yang telah dibuat. Puasa perlulah diganti pada hari yang lain.

Oleh kerana puasa merupakan suatu ibadat yang dijalankan untuk suatu jangka masa yang panjang, bukan sahaja persediaan rohani dan mental pesakit perlu kuat. Keadaan fizikalnya juga mesti kuat dan berdaya tahan. Kita selalu sebut bahawa salah satu implikasi positif puasa ialah dari segi memberi kerehatan yang cukup kepada sistem pencernaan. Demikian juga kepada anggota lain yang berhubungan secara tidak langsung. Ini ada benarnya.

Namun tanpa penjagaan kesihatan yang sempurna atau sikap mengambil berat terhadap pemakanan, seseorang boleh mengundang pelbagai penyakit di bulan puasa. Di antaranya ialah keracunan, cirit-birit dan taun. Ini berlaku kerana orang yang berpuasa memakan pelbagai jenis makanan dan membeli di gerai-gerai yang pemiliknya tidak peka tentang kebersihan. Lagi pun sebahagian daripada penjual di bulan puasa itu bukannya pernah menjadi peniaga melainkan di bulan puasa sahaja.

Selepas berlalu puasa selama beberapa hari, kerapkali ada pula aduan lain. Ini biasanya timbul daripada mereka yang mengalami masalah sembelit. Sememangnya sembelit merupakan satu masalah kesihatan yang lumrah, khususnya di bulan puasa. Ini berlaku apabila seseorang itu kurang meminum air dan alpa untuk mengambil makanan yang mengandungi serat. Sebaliknya makanan yang manis-manis sahaja yang dikejar sebagai juadah berbuka puasa.

Salah satu drama yang biasa menjadi buah mulut ialah serangan gastrik. Tetapi sebenarnya gastrik bukanlah sesuatu yang pelik. Oleh kerana pertukaran jadual makan, khususnya pada awal bulan puasa, memanglah ada orang yang perutnya sensitif akan merasa pedih bila tiba tengah hari. Kebanyakan individu menjadi biasa selepas beberapa hari. Bagi mereka yang tidak tahan dengan situasi berkenaan, terdapat beberapa kaedah untuk menghalang serangan sakit perut atau gastrik yang berkemungkinan besar diakibatkan oleh asid dalam perut. Di antaranya ialah dengan mengambil beberapa penawar homeopati dan biokimia tertentu.

Penyakit-penyakit lain yang kerap ditemui di sepanjang bulan Ramadhan ialah tonsilitis, syanker mulut, sakit kerongkong, batuk, selsema dan lain-lain. Ia boleh menyerang dengan mudah di bulan puasa bagi individu yang tidak peka dengan amalan kebersihan, makanan seimbang dan kesihatan. Apa lagi bagi mereka yang sudah sedia ada penyakit yang dihidapi secara berterusan.

Wanita yang hamil juga biasa mengalami masalah untuk meneruskan puasa. Masalah tersebut mungkin berkait dengan kesihatan diri ataupun bayi di dalam kandungan. Mereka yang mendapat alahan teruk ketika hamil seperti loya, muntah, sakit perut dan krem harus mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Bagi wanita hamil, Islam telahpun menetapkan kaedah-kaedah tertentu yang mengizinkan ibu-ibu meninggalkan puasa dan menggantikannya di kemudian hari.

Bagi semua individu muslim, mustahak diingatkan bahawa setiap individu harus mengambil jumlah air minuman yang mencukupi di bulan puasa. Kurangkan amalan mengambil terlalu banyak minuman dan kuih-muih yang manis. Sebaliknya banyakkan meminum air suam atau air masak. Begitu juga, janganlah terlalu gelojoh dengan menyumbat sebanyak mungkin makanan sewaktu berbuka puasa.

Adalah berfaedah sekiranya anda dapat mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan merokok. Banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau. Buah-buahan seperti khurma, buah tin, prun dan limau amat baik dijadikan sajian berbuka puasa dan bersahur sebelum memakan nasi. Makanlah secukupnya di samping memberi ruang untuk kita bernafas dengan selesa.

Bagi mereka yang merasa makanannya tidak membekalkan zat atau vitamin yang mencukupi, ada baiknya mengambil pil-pil tertentu seperti tablet vitamin B2, vitamin C dan multivitamin ataupun multimineral. Beberapa panduan lengkap berkaitan pemakanan boleh dirujuk kepada pakar pemakanan dan kesihatan maupun hospital.

Reblog this post [with Zemanta]

Panduan Memilih Makanan Sihat Semasa Ramadhan

Pada bulan Ramadhan, sepanjang siang hari kita berpuasa maka apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita akan membeli atau memasak sahaja semua makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan. Bagaimanakah untuk memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa supaya di samping kita dapat menikmati rasa yang sedap, berkhasiat dan memperolehi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh.

Bulan Ramadhan adalah sama seperti bulan-bulan yang lain tetapi bezanya kita makan di waktu malam. Sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut di samping tubuh kita mendapat cukup kalori untuk keperluan seharian. Jika pada hari-hari biasa kita mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, begitu juga di bulan puasa. Cuba amalkan makan secara berperingkat seperti pada waktu berbuka, mulakan minuman dan kuih-muih atau buah-buahan. Ini sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada perut kita yang kosong. Kita memberi rehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib. Selepas ini barulah perut kita akan lebih bersedia menerima makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.

Di samping kuantitinya, kualiti pemakanan juga perlu dititikberatkan. Ini untuk memastikan tubuh kita kembali menerima tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh terkandung di dalamnya. Amalkan pemakanan seimbang di mana kita perlu memastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air di ambil dalam jumlah yang sesuai dan mencukupi.

Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resepi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba memodifikasikan diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.

Berikut adalah panduan makanan untuk menjamin kesihatan kita;
  • Kurangkan penggunaan lemak terutama lemak tepu seperti sumber-sumber lemak dari binatang seperti mentega dan keju kerana lemak jenis ini juga mengandungi aras kolesterol yang tinggi. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan lebih sihat dan memastikan kita lebih berjimat-cermat.
  • Tingkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran segar. Kebanyakkan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah menyumbangkan serat (fiber).
  • Lebihkan pengambilan air. Ketika berbuka puasa, disarankan minum jus buaha-buahan (tanpa gula) dan elakkanlah dari minuman yang manis seperti minuman kordial dan minuman berperisa. Minuman yang berkafein seperti kopi tulen juga tidak digalakkan.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang masin terutama ketika bersahur. Disamping kita dapat mengelakkan bahaya penyakit, kita juga akan tidak merasa dahaga ketika berpuasa.
  • Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang manis. Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukkan.
Semoga dalam bulan Ramadhan ini, kita adalah di antara individu yang bijak memilih makanan yang sihat di samping berjimat-cermat dalam memilih makanan yang sesuai.

Technorati Tags: , , , , , ,
Reblog this post [with Zemanta]

Panduan Kehamilan Semasa Puasa

"Bertuahnya puan saat ini," kata seorang doktor kepada pesakit wanita yang diperiksanya.

"Kenapa doktor?" balasnya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

"Sekarang Ramadan. Puan pula hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Ia kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan untuk mengenal penciptanya," jelas doktor.

Maka, tidak hairanlah, meski sedang hamil atau menyusui bayi mereka, tidak kurang ibu-ibu yang tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.

Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan ruksah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan sekarang.

Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak payah berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah mengqada puasanya kelak.

Antara alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan itu. Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada kawan.

Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.

Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.

Mereka menangguhkan masa untuk berbuka "Tunggulah setengah jam lagi." Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Noor Aini Saari berkata:

"Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan fetus/janin sendiri.

Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya," katanya.

Tambah beliau: "Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat."

Menurutnya, kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fiziologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita.

Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada si ibu mahupun janin dan berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa. Sebaliknya, bagi kehamilan bermasalah sebaiknya tidak berpuasa.

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi gizi/zat makanan janinnya.

Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius di kalangan ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu selain harus memikirkan keperluan dirinya sendiri, juga janin yang sedang dikandungnya.

Apabila diajukan kebimbangan ibu-ibu yang bayi mereka lapar jika terus berpuasa, terutamanya bagi yang melalui pengalaman sulung mengandung, Dr. Noor Aini menjelaskan:

"Ibu hamil yang menjalani ibadah berpuasa tidak perlu bimbang kalau-kalau janinnya kelaparan.

Ini kerana, jika janin memerlukan makanan, ia secara automatik akan mengambil gizi dari tubuh ibunya yang dibekalkan sepenuhnya melalui plasenta/uri", ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian bahawa, proses nutrisi yang optimum sebenarnya bermula sejak seseorang ibu itu berada di zaman kanak-kanak lagi.

Seseorang yang mempunyai tabiat pemakanan yang sihat sejak dari awal, akan mempunyai status pemakanan yang amat bagus dan mempunyai bekalan yang cukup sehingga ke awal kandungan.

Dengan meneruskan tabiat ini, beliau bukan sahaja dapat mengelakkan kekurangan nutrien, malah beliau juga akan memastikan anak di dalam kandungannya sentiasa sihat.

Pada masa yang sama, kata Dr. Noor Aini, ibu-ibu yang mengalami kekurangan nutrien di dalam pemakanan, akan menyebabkan tumbesaran bayi di dalam kandungan bermasalah.

"Semua bekalan yang ada di dalam tubuh badan ibu akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Ini akan menyebabkan ibu-ibu ini semakin tidak sihat.

Jika beliau tidak mengubah tabiat pemakanannya, anak yang di dalam kandungan juga akan turut terjejas," katanya sambil menambah, kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka berdua.

"Pada masa yang sama, kita tidak perlu makan untuk dua orang. Terlalu banyak makan dan nutrien juga akan mengundang musibah," tambahnya.

Perkembangan janin
Janin akan mengalami berbagai-bagai fasa pertumbuhan seperti hiperplasia (pertumbuhan sel), hypertrofi (pembesaran sel) dan juga pengkhususan sel sehingga minggu kelapan.

Janin ini juga bergantung sepenuhnya kepada nutrien ibu. Nutrien juga amat penting untuk memastikan pertumbuhan plasenta yang sihat.

Setiap organ mempunyai masa pertumbuhan kritikalnya yang tersendiri. Contohnya, otak mempunyai pertumbuhan kritikal semasa minggu ke-18 kandungan.

Kekurangan nutrien akan menyebabkan kekurangan sel otak, merencatkan pertumbuhan serta perkembangan otak.

Pertumbuhan dan pembesaran bayi akan berkembang dengan pesat pada minggu ke-12 hinggalah ke minggu ke-36 dengan pertumbuhan maksimum pada fasa trimester ketiga.


Puasa mengikut trimester

Sepanjang tempoh kehamilan normal 40 minggu dibahagikan kepada tiga trimester, setiap trimester mempunyai lebih kurang 13 minggu.

Semasa di awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa.

Semasa usia kandungan trimester kedua dan ketiga, keperluan protein, kolesterol, lemak, vitamin dan mineral meningkat dengan mendadak.

Makanan yang seimbang dan mencukupi akan juga membekalkan tenaga yang cukup bagi memenuhi keperluan janin dan plasenta.

Sepanjang tempoh ini, sebahagian besar tenaga disimpan di dalam bentuk glikogen dan lemak.

Jadi tidak hairanlah, mengapa ibu yang kurang pemakanan biasanya mempunyai bayi yang kurus manakala fetus daripada ibu yang obes dan berlebihan nutrien, lazimnya gemuk.

Ketika kandungan berusia enam hingga sembilan bulan, janin mula menghasilkan insulin untuk mengubah glukos ke bentuk glikogen dan lemak yang menyumbang kepada berat badannya.

Ketika berpuasa, ibu mengalami keadaan hipoglisemia selama beberapa jam terakhir berpuasa. Keadaan ini juga menyebabkan bayi tersebut mengalami keadaan yang sama dan akan menggunakan semula bekalan yang telah disimpan.

Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa yang paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit seperti di bawah disarankan agar tidak berpuasa:
  • Morning sickness yang teruk; ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi yang berzat tinggi
  • Penyakit kronik seperti diabetes mellitus, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain. Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan, serta kesihatan ibu akan turut terjejas
  • Anemia/kekurangan darah semasa mengandung
  • Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering)
  • Pesakit jantung
  • Tumbesaran bayi yang terencat
  • Mengalami perdarahan semasa mengandung.

Panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan

Seseorang itu tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa bulan Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang.

Pengambilan makanan dari pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting. Agar ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan yang mempunyai nilai kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar.

Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya.

Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya ibu-ibu hamil kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan bahawa, seseorang itu tidak mengalami dehidrasi.

Air amat diperlukan oleh bayi dalam membentuk air mentuban. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Minumlah segelas susu setiap kali bersahur.

Pilihan yang baik untuk berbuka dan bersahur

Semasa berbuka puasa, anda digalakkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak kerana ini boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Antaranya buah-buahan segar, kurma, jus buah-buahan segar, kuih-muih yang kurang manis dan kurang lemak (apam beras, popia basah), yogurt rendah lemak yang ditambah dengan buah-buahan segar, telur rebus/ayam yang dipanggang, kacang panggang yang dimakan bersama roti bijirin.

Selepas beberapa jam kemudian, anda boleh menikmati hidangan yang lain seperti roti bijirin yang berintikan telur dan tomato, ayam rebus atau panggang dengan salad, keju dengan salad, atau tuna dengan timun dan tomato.

Atau, pasta dengan kuah yang berasaskan tomato, bebola daging dan salad, mihun sup dengan ayam dan sayur-sayuran, nasi putih dengan ikan kukus dan sayur-sayuran.

Atau, laksa Penang dan sayur-sayuran, mihun goreng kurang minyak yang lengkap dengan ayam atau daging dan sayur-sayuran.

Begitu juga dengan waktu bersahur, anda digalakkan mengambil makanan yang seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak. Makanan yang dimakan semasa sahur akan dapat bertahan selama lapan jam ataupun lebih awal.

Tip agar sentiasa segar semasa mengandung di bulan Ramadan
  1. Jangan lupa selalu makan makanan berzat baik pada saat sahur atau berbuka puasa. Walau menu sederhana, yang penting mengandungi lima unsur zat lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral
  2. Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyakkan meminum air putih pada malam hari. Hal ini penting dilakukan, kerana pada siang hari, aktiviti kita cenderung banyak mengeluarkan keringat baik di ruangan terbuka atau berhawa dingin
  3. Pada saat berbuka, mulakan dengan makanan atau minuman hangat dan manis seperti Milo, susu atau minuman manis lainnya. Tapi ingat, jangan mengambil minuman yang mengandungi soda, kerana dapat menimbulkan akibat buruk bagi perut anda
  4. Jangan minum air dingin atau ais. Biasakanlah berbuka dengan minuman yang hangat. Perut yang kosong kerap menjadi kembung, bila anda terus berbuka puasa dengan air dingin
  5. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka. Tujuannya untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan kita. Ingat, jangan mengambil makanan berlebihan dan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti telur dan ikan masin
  6. Berbuka puasa hendaknya dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terburu-buru agar perut tidak terkejut. Untuk meringankan kerja penghadaman, kunyah makanan dengan baik
  7. Supaya anda mampu menahan rasa lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadamkan makanan yang banyak serat
  8. Selain memperbanyakkan makanan berserat dan berprotein, sebaiknya anda juga menyediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari
  9. Vitamin yang penting diambil setiap hari adalah vitamin A, B dan C. Tetapi, kalau anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur berwarna hijau tua dan kekacang, maka tidak perlu khuatir kekurangan vitamin tersebut.

Ibu menyusu

Bagi ibu yang sedang menyusui bayi sepenuhnya, seeloknya jangan berpuasa dahulu kerana bayi perlu menyusu susu ibu setiap tiga jam.

Sekiranya ibu tidak makan dan minum, bagaimanakah ibu dapat menentukan susunya yang paling berkualiti? Sekiranya bayi sudah mula makan makanan lain selepas berumur empat bulan, ibu ini bolehlah berpuasa.

Apabila berbuka, pastikanlah makanan anda cukup berzat dan seimbang dan minum air secukupnya. Semasa sahur, amalkan minum segelas susu.

Technorati Tags: , , , , ,


Reblog this post [with Zemanta]

Wuduk Zahir dan Wuduk Batin

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air".

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
  1. Bertaubat
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dunia
  4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riak)
  5. Tinggalkan sifat berbangga
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki."
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
  1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
  2. Syurga di sebelah kananku,
  3. Neraka di sebelah kiriku,
  4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."
"Di samping itu setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Tags: , , , , ,

Beratnya Pengharaman Riba

Allah s.w.t berkata, "Orang-orang yang memakan ataupun mengamalkan riba tidak dapat berdiri dengan betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian adalah disebabkan mereka mengatakan, "Sesungguhnya jual beli itu sama sahaja seperti riba."

Padahal, Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang disampaikan kepadanya peringatan berkenaan larangan daripada Tuhannya, lalu dia berhenti daripada mengambil riba, maka apa yang sudah diambil dahulu sebelum pengharaman itu adalah menjadi haknya, dan ia terserah kepada Allah. Manakala sesiapa yang mengulangi lagi perbuatan mengambil riba itu, mereka adalah ahli neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

Allah susutkan kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil riba, dan Dia pula menambahkan keberkatan harta yang dikeluarkan secara sedekah. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal dalam kekufuran dan sentiasa melakukan dosa.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat, mereka beroleh pahala dan di sisi Tuhan mereka, dan tidak bimbang berlakunya sesuatu yang tidak baik kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba yang masih ada pada orang yang berhutang itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman."

Surah al-Baqarah ayat 275 hingga 278

Technorati Tags: , , ,

Muharam Dan Asyura

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Muharam;

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.
Technorati Tags: , ,

Doa Awal Tahun Hijrah

Doa Awal Tahun Hijrah


Technorati Tags: , , , ,

Doa Akhir Tahun Hijrah

Doa Akhir Tahun Hijrah


Technorati Tags: , , , ,