Pantun Kehampaan Berkasih

Selasih di Teluk Dalam,
Datang kapas Lubuk Tempurung,
Bagai umpama si burung balam,
Mata lepas badan terkurung.

Anak kumbang terayap-rayap,
Mari disambar anak Turki,
Hendak terbang tidak bersayap,
Hendak hinggap tidak berkaki.

Anak ikan dipanggang sahaja,
Hendak dipindang tidak berkunyit,
Anak orang dipandang sahaja,
Hendak dipinang tidak berduit.

Limau purut lebat di pangkal,
Sayang selasih condong uratnya,
Angin ribut dapat ditangkal,
Hati kasih apa ubatnya?

Riuh rendah di tepi teluk,
Lihat orang duduk bertenun,
Tengah malam ayam berkokok,
Serasa tuan datang membangun.

Tetak nyirih galangkan dapur,
Mari ditetak dengan dahannya,
Minta sirih barang sekapur,
Mari minta dengan tuannya.

Kalau kena dengan tetaknya,
Macam mana nyirih tak rapat,
Kalau kena dengan cintanya,
Macam mana sirih tak dapat?

Technorati Tags: , , ,

Petua Menghilangkan Bau Badan

Masalah bau badan memang menjadi satu kerisauan bagi sebahagian orang terutama mereka yang mempunyai gaya hidup aktif. Ianya boleh mengurangkan keyakinan diri seseorang itu untuk bertemu dengan orang lain.

Berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan samada untuk mengurangkan atau menghilangkan bau badan;
  • Potong pendek batang pokok kantan segar dan tumbuh hingga lumat. Rebus kantan yang ditumbuk itu hingga mendidih kemudian angkat dan biarkan sejuk. Jadikan air rebusan itu sebagai mandian. Gunakan air biasa untuk bilasan yang terakhir.

  • Rebus secekak serai wangi, daun jambu, daun lengkuas dan daun pandan. Campurkan air rebusan tadi dengan sebaldi air biasa. Amalkan mandian ini tiga kali seminggu.

  • Selepas mandi gosokkan seketul tawas pada bahagian-bahagian badan tertentu terutamannya di ketiak.

  • Kupas sebiji timun muda dan dibasuh bersih. Gosokkan di bahagian badan yang mudah berpeluh. Lakukannya sebaik sahaja selepas mandi dan sekerap mungkin.

  • Goreng segenggam beras tanpa minyak sehingga hangus. Ramas hingga hancur dan bancuh bersama air asam jawa. Gosokkan di bahagian yang mudah berpeluh. Biarkan selama 10 minit sebelum mandi. Lakukan sekerap mungkin.

  • Campurkan tawas yang telah dijadikan serbuk dengan sedikit beras. Gaulkan kedua-duanya dan disapu ke seluruh badan yang mudah berpeluh. Lakukan setiap malam sebelum tidur.

  • Minum air rebusan daun sirih atau daun nenas muda yang telah dicampurkan dengan garam. Amalkan sekurang-kurangnya selama seminggu.

  • Lumurkan hampas kelapa ke seluruh badan. Biarkan selama 45 minit sebelum dibilas dengan air bersih.

  • Gosokkan hampas teh yang telah digunakan pada seluruh badan terutama di ketiak selama 15 minit sebelum mandi. Amalkannya dua kali seminggu.

Technorati Tags: , ,

Petua Menyegar dan Menyihatkan Mata

Beberapa petua untuk menyegar dan menyihatkan mata;
  • Lekapkan dua uncang teh yang sudah digunakan pada kedua-dua belah mata selama lima minit. Amalkan selalu supaya mata sentiasa segar dan bersinar.

  • Lekapkan hirisan timun segar pada kedua-dua belah mata. Biarkan selama beberapa minit sambil anda berbaring.

  • Keluarkan lendir beberapa batang daun lidah buaya. Sapukan pada kedua-dua kelopak mata dan pejamkan mata kira-kira setengah jam. Selepas itu, cucilah kelopak mata anda.

Technorati Tags: , ,

Pantun Kasih Yang Diuji

Layang-layang terbang melayang,
Jatuh ke laut disambar todak,
Mulut sahaja berkhabar sayang,
Di dalam hati satu pun tidak.

Limau manis condong ke paya,
Boleh buat sampiran baju,
Mulut manis kepada saya,
Hati kasih pada yang lain.

Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut pecah batangnya,
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut susah datangnya.

Menangguk, udangnya banyak,
Hendak dipepah airnya dalam,
Hendak masuk orangnya banyak,
Campaklah sepah dari dalam.

Buah rembega dibawa pulang,
Rama-rama terbang ke Jawa,
Adik membega, abang membulang,
Sama-sama membuang nyawa.

Technorati Tags: , , , , ,