Petua Rambut Berkilat

Rambut adalah mahkota khususnya kepada wanita. Ramai yang inginkan rambut yang sihat dan nampak berkilat. Berikut adalah beberapa petua yang boleh diikuti untuk mendapatkan rambut berkilat;
  • Ambil dua cawan pati santan, dua batang daun lidah buaya, lima helai daun pandan dan sebiji kuning telur. Kisar daun pandan bersama daun lidah buaya dan ambil airnya. Campurkan kuning telur dan kacau sebati. Sapukan di kepala sambil mengurut kepala selama lima minit. Apabila selesai, balut kepala dengan tuala bersih selama 10 minit. Kemudian cuci dengan air bersih. Jika rambut berkelemumur tambahkan sedikit perahan air limau purut.

  • Ambil segenggam kelapa yang baru diparut. Ketika mandi, kelapa tadi digosok rata-rata pada bahagian rambut. Amalkan selalu dan hasilnya rambut akan lebih sihat dan berkilat.

  • Bersihkan biji betik dan jemur hingga kering. Gorengkan tanpa minyak sampai hangus. Kemudian tumbuk atau giling hingga lumat. Pindahkan ke dalam piring dan bancuhkan dengan air. Sebelum menggunakannya, bersihkan rambut dan keringkan. Selain itu, sapukan bahan tadi pada rambut tanpa syampu. Hasilnya rambut akan berkilat dan lebih hitam.

  • Ramas beberapa helai daun limau purut dan bunga raya dengan sedikit air, tapis airnya dan lumurkan pada rambut. Di samping memberi keharuman pada rambut, ia juga menyejukkan kepala.

Technorati Tags: , , , ,

Beratnya Pengharaman Riba

Allah s.w.t berkata, "Orang-orang yang memakan ataupun mengamalkan riba tidak dapat berdiri dengan betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian adalah disebabkan mereka mengatakan, "Sesungguhnya jual beli itu sama sahaja seperti riba."

Padahal, Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang disampaikan kepadanya peringatan berkenaan larangan daripada Tuhannya, lalu dia berhenti daripada mengambil riba, maka apa yang sudah diambil dahulu sebelum pengharaman itu adalah menjadi haknya, dan ia terserah kepada Allah. Manakala sesiapa yang mengulangi lagi perbuatan mengambil riba itu, mereka adalah ahli neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

Allah susutkan kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil riba, dan Dia pula menambahkan keberkatan harta yang dikeluarkan secara sedekah. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal dalam kekufuran dan sentiasa melakukan dosa.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat, mereka beroleh pahala dan di sisi Tuhan mereka, dan tidak bimbang berlakunya sesuatu yang tidak baik kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba yang masih ada pada orang yang berhutang itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman."

Surah al-Baqarah ayat 275 hingga 278

Technorati Tags: , , ,

Pantun Teka-Teki

Tumbuk padi sulung tahun,
Hari raya, raya haji,
Di dalam teras ada daun,
Di dalam daun ada isi.

Ada berpucuk tiada berdaun,
Hujungnya bisa seperti racun,
Diberi makan bertahun-tahun,
Kenyang tidak tahi bertimbun.

Orang mengail ikan gelama,
Bulan terang pagi hari,
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang keris di kaki?

Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana putungnya?
Hilang ghaibku sangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?

Kalau tuan tombak rencana,
Ambil gantang sukat pala,
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang tiada kepala?

Jawapan: Lemang, Api, Ayam Jantan, Kilat, Ketam

Technorati Tags: , , ,