Elak Makanan Tercemar

Pencemaran makanan boleh berlaku apabila ada pemindahan bakteria yang datangnya dari papan pemotong, perkakasan memasak dan juga jenis makanan yang berbeza apabila ia tidak dikendalikan dengan betul.

Salah satu kelengkapan di dapur yang bertindak sebagai agen penyebaran bakteria adalah 'kain buruk' yang sering digunakan untuk mengelap permukaan kaunter dapur.

Kain yang sering digunakan berkali-kali sebelum dibasuh itu juga menjadi rumah untuk pelbagai jenis bakteria.

Antara langkah lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan:
  • Sering mencuci papan pemotong, pinggan mangkuk dan perkakasan seperti garpu dan sudu dengan air panas dan bersabun selepas ia digunakan untuk memotong daging mentah, produk ayam dan juga makanan laut.
  • Amalkan mencuci tangan dengan sabun dan air hangat yang bersih sekurang-kurangnya selama 20 saat selepas setiap kali memegang bahan makanan mentah, keluar dari tandas, memegang haiwan peliharaan, atau menukar lampin anak.
  • Gunakan papan pemotong yang berlainan untuk memotong barangan segar (sayur dan buah) dengan makanan lain (daging, ayam dan makanan laut).
  • Asingkan daging mentah, ayam dan makanan laut daripada makanan lain dalam troli beli-belah. Letakkan makanan ini dalam beg plastik bagi mengelakkan airnya menitik dan terkena makanan lain. Pengasingan juga penting ketika membungkus di kaunter bayaran.
  • Gunakan tuala kertas atau kain lap bersama sabun dan air hangat untuk membersihkan permukaan kaunter dapur. Bagi penyelesaian pembersihan dapur dan perkakasan berkaitan, campurkan satu sudu makan cecair peluntur klorin dengan satu gelen air bersih.
  • Amalkan memerap makanan dalam peti sejuk, dan bukannya atas kaunter dapur. Sos yang dikhaskan untuk memerap daging mentah, ayam atau makanan laut tidak boleh digunakan pada makanan yang telah dimasak, melainkan ia sudah dididih terlebih dahulu.
  • Apabila menghidang makanan, gunakan pinggan yang bersih. Jangan sesekali meletakkan makanan yang baru dimasak ke pinggan yang telah digunakan, ataupun ke atas papan pemotong yang telah bersentuhan dengan daging mentah.
  • Simpan baki makanan ke dalam ruangan sejuk beku peti sejuk dalam tempoh selewat-lewatnya dua jam setelah ia terdedah. Gunakan bekas makanan yang bersih dan bertutup.
Technorati Tags: , , , , ,

Wuduk Zahir dan Wuduk Batin

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air".

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
  1. Bertaubat
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dunia
  4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riak)
  5. Tinggalkan sifat berbangga
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki."
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
  1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
  2. Syurga di sebelah kananku,
  3. Neraka di sebelah kiriku,
  4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."
"Di samping itu setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Tags: , , , , ,

Renungan Terhadap Telatah Manusia

Nyiur manis lebat setandan,
Masak di bawah mayang mengurai,
Laksana buah duduk tersimpan,
Isi di dalam dikerebuk tupai.

Orang Digor menembak bangau,
Kena sepasang jantan betina,
Saya umpama cekur jerangau,
senak kembung baru berguna.

Habis berkapur penuh berkabung,
Kacak sebagai sengkalan tak sudah,
Jangan diharap kepada sokong,
Sokong juga membawa rebah.

Hari hujan puyuh mendengus,
Mendengut mari sepanjang jalan,
Air dalam kapal tak hanyut,
Kononlah pula kemarau panjang.

Berasa miang tangan dan siku,
Kemuncup penuh kaki seluar,
Orang yang kenyang jangan dijamu,
Lauk yang sedap dikata tawar.

Technorati Tags: , , , , ,
Zemanta Pixie

Renungan Terhadap Hidup Manusia

Orang Aceh pulang ke Aceh,
Manisan lebah dalam perahu,
Tidur sebantal hilang kasih,
Hati berubah siapa tahu?

Pisau raut hilang di rimba,
Pakaian anak raja Judah,
Karam di laut boleh ditimba,
Karam di hati bilakah sudah?

Gesek rebab petik kecapi,
Burung tempua mengangkut sarang,
Apa sebab jadi begini,
Karam berdua basah seorang?

Pergi ke padang menyuluh semut,
Jatuh andang lintang-pukang,
Tidur terlentang tarik selimut,
Baru tahu diri seorang.

Beringin di tepi bakau,
Tambatan ayam tedung jalak,
Hati ingin memandang pulau,
Perahu ada kemudi tidak.

Technorati Tags: , , , , ,
Zemanta Pixie