Jangan Bertangguh Kerja

Sesuatu kerja penting yang boleh disiapkan hari ini perlu disiapkan hari ini perlu disiapkan hari ini juga. Hindarkan tabiat menunda-nundakannya ke hari esok.

Memang terdapat sikap seseorang yang menunda-nundakan sesuatu kerja walaupun tahu kerja itu penting dan perlu disegerakan tetapi memilih untuk tidak melakukan kerja berkenaan. Malah dia membuat kerja lain yang kurang penting.

Sebagai contoh anda diberi tempoh dua minggu untuk membuat persiapan satu pembentangan kertas kerja, tetapi anda sengaja tidak membuat apa-apa persediaan sehinggalah dua tiga hari sebelum hari yang ditetapkan. Walaupun mempunyai kelapangan sebelum itu, anda menghabiskan masa membuat kerja-kerja lain yang kurang penting.

Tabiat menunda-nundakan kerja hari ini ke hari esok cukup merugikan kerana kerja esok akan ditunda kepada lusa dan kerja lusa akan ditunda lagi kepada hari berikutnya sehinggalah kesempatan yang ada terbuang begitu sahaja.

Untuk berjaya pastikan agar apa jua kerja penting yang boleh dibuat hari ini diselesaikan secepat mungkin supaya kita sempat membuat sesuatu kerja sebaik mungkin.

Technorati Tags: , , , , , ,

Petua Menambahkan Seri Wajah

Wajah atau muka merupakan bahagian badan yang paling mendapat perhatian. Oleh itu terdapat beberapa petua untuk menambahkan seri wajah seperti berikut;
  • Giling hingga lumat tujuh mata kunyit, segenggam pegaga, sedikit beras dan segenggam cekur manis. Sebelum mandi, gosokkan bancuhan tadi pada seluruh muka dan badan secara perlahan-lahan hingga daki keluar.
  • Goreng secawan beras yang telah dibasuh bersama sedikit kunyit hidup sehingga berwarna hitam. Biarkan sehingga bau beras dan kunyit itu naik. Sapu dan gosokkan ramuan tersebut pada seluruh badan termasuk muka. Amalkan selalu sebelum mandi.
  • Basuh dan tumbuk lumat beberapa helai daun pegaga. Perah beberapa titis air limau lalu digaul rata. Sapukan campuran tersebut ke seluruh muka sebelum dibilas dengan air bersih.
  • Goreng secawan beras tanpa minyak hingga kekuningan. Kisar hingga lumat. Campurkan dengan sedikit putih telur, air limau dan satu sudu teh air kunyit. Tepekkan pada muka kecuali bahagian mata.
  • Rebus kurma merah seberapa banyak yang anda mahu. Air rebusan tersebut dicampurkan satu sudu besar madu dan dua sudu besar jus buah prun. Minum dua kali sehari.
  • Bersihkan sebuku ibu kunyit dan dibuang kulitnya, kemudian bakar sehingga layu dan ditumbuk halus. Campur dengan suku cawan air dan ditapis sebelum diminum air tersebut. Ibu kunyit ini hanya diminum sekali sahaja selepas ibu-ibu melahirkan anak.
  • Parut 1/3 lobak merah. Lumurkan parutan tadi ke seluruh wajah dan biarkan selama 15 hingga 30 minit. Kemudian bilas. Lakukan sebelum tidur.
  • Rendam kacang soya kemudian kisar dan didihkan. Masukkan air didihan tersebut ke dalam loyang dan wapkan muka anda di dalam kepulan asapnya, Buatlah sekerap yang mungkin untuk perubahan yang ketara.
  • Rendam serbuk teh semalaman. Sapukan serbuk tersebut ke seluruh muka pada keesokan harinya sambil berselawat tiga kali sebelum mandi pagi. InsyaAllah, kulit yang kasar akan beransur-ansur menjadi licin, halus dan berseri.
  • Rebus segenggam daun inai hingga air bertukar kemerah-merahan. Apabila air rebusan sudah sejuk, basuh muka menggunakannya sambil selawat tiga kali. Amalkan tiga malam berturut-turut dan anda akan lihat perbezaannya.
  • Gunakan buah tomato dan timun. Potong buah tersebut nipis-nipis dan tampalkan pada muka. Biarkan selama 10 minit. Kemudian barulah dicuci dengan air sejuk.
  • Bancuh dua sudu tepung sagu ubi dengan sedikit air pada kepekatan sederhana. Sapukan ke seluruh muka kecuali bahagian sekitar mata sebelum tidur dan dibilas pada pagi esoknya. Amalkan setiap malam selama dua minggu berturut-turut.
Technorati Tags: , , , , ,

Cari Kawan Positif Bukan Yang Negatif

Kawan yang positif membantu kita untuk menjadi seorang yang bersifat positif dan kawan yang negatif akan mempengaruhi kita untuk turut bersifat negatif. Oleh itu, berhati-hatilah semasa memilih kawan. Mereka boleh membantu atau mereka boleh membantutkan kita.

Bersikap positif bermakna kita meyakini bahawa apa sahaja yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh, lazimnya akan berjaya. Bersikap negatif pula bermaksud, walau sebanyak mana pun usaha yang dicurahkan, kita meragui hasil yang bakal diperolehi.

Di sini kita dapat rumuskan bahawa rakan yang negatif sentiasa meragui apa sahaja tindakan yang bakal kita ambil. Dia bukan sahaja tidak memberi semangat, malah mematikan semangat kita. Jika kita sentiasa berdamping dengan mereka, lama-kelamaan kita akan turut menjadi orang yang negatif.

Pilihlah rakan yang positif. Mereka turut meyakini kebolehan kita, selalu memberi semangat dan akan bersama-sama kita berusaha mencapai matlamat yang ditetapkan. Sikap saling sokong-menyokong ini dapat mematangkan kita untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam hidup ini.

Technorati Tags: , , , , ,

Petua Hilangkan Kulit Muka Berminyak

Berikut adalah beberapa petua menghilangkan dan mengurangkan kulit muka yang berminyak;
  • Parut epal hingga halus dan sapukan pada muka. Biarkan selama 15 minit selepas itu cucilah dengan air suam. Lakukan tiga kali seminggu.
  • Rendam beras anggaran setengah gelas, campurkan daun cermai dan ibu kunyit. Kesemuanya bahan ini hendaklah dikisar bersama. Bersihkan muka terlebih dahulu dan sapukan bahan yang telah dikisar itu setiap kali sebelum tidur.
  • Campurkan sedikit madu lebah dengan air perahan asam gelugur, jika tiada, bolehlah digantikan dengan air limau parut. Sapukan campuran bahan tersebut ke seluruh muka dan biarkan kering. Kemudian bilaslah dengan menggunakan air bersih.
  • Ramaskan daun sirih di dalam secawan air. Selepas itu, sapukan air ramasan itu pada seluruh muka dan biarkan selama 15 minit. Kemudian bilas dengan air suam. Lakukan tiga kali seminggu berturut-turut untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
  • Campurkan tepung dal dengan pati susu dan sapukan pada muka. Biarkan sapuan itu sehingga kering. Selepas itu bilas muka dengan air bersih.
  • Rendam sehelai tuala kecil ke dalam air suam kemudian perah dan tekapkan ke muka. Setelah itu laplah bersih-bersih. Lakukan setiap malam sebelum tidur.

Technorati Tags: , , , , , , ,