Pantun Berkait II

Angsana berpucuk di atas batu,
Pucuk digangsa beribu-ribuan,
Ada bunga di naung batu,
Kuntumnya kaca tangkainya embun.

Pucuk di gangsa beribu-ribuan,
Kembang diuca balik beroleh,
Kuntumnya kaca tangkainya embun,
Dipandang sahaja diambil tak boleh.

Kembang diuca balik beroleh,
Tambang garam di dalam sekoci,
Dipandang sahaja diambil tak boleh,
Bertambah geram di dalam hati.

==#==#==#==#==#==#==#==#==

Gemilang cahayanya cincin permata,
Memetiklah buah melempari,
Jika hilang duli mahkota,
Di mana patik membawa diri?
Memetiklah buah melempari,
Burung enggang terbang ke batu,
Di mana patik membawa diri,
Patik nan dagang anak piatu.

Burung enggang terbang ke batu,
Selasih tambah dalam puan,
Patik nan dagang anak piatu,
Harapkan kasih Yang Dipertuan.

Technorati Tags: , ,

Pantun Berkait I

Inilah surat baharu dikarang,
Tukangnya tidak tahukan erti,
ada sekali bunga yang kembang,
Tumbuh di mercu gunung yang tinggi.

Tukangnya tidak tahukan erti,
Bahasanya orang cara Melayu,
Tumbuh di mercu gunung yang tinggi,
Bunganya kembang cahayanya ungu.

Bahasanya orang cara Melayu,
Tukang nan tidak ertikan makna,
Bunganya kembang cahayanya ungu,
Kumbang nan tidak berhenti ke sana.

==#==#==#==#==#==#==#==#==

Bunga dikarang di dalam kebun,
Permainan raja di Jeddah,
Sahaya tidak tahu berpantun,
Mohonkan ampun barang yang salah.

Permainan raja di Jeddah,
Anak-anak mandi di sangku,
Mohonkan ampun barang yang salah,
Minta maaf madah terlalu.

Technorati Tags: , ,

Untuk Menjadi Juara Perlu Bersifat Juara

Semua orang ingin menjadi juara tetapi untuk menjadi juara kita hendaklah terlebih dahulu berfikir, bercakap dan belajar seperti seorang juara. Dengan menyakini bahawa kita boleh menjadi juara, peluang untuk meraih kejayaan lebih terserlah.

Juara memang berbeza dengan bukan juara. Sebagai contoh, seorang pelajar yang cemerlang lazimnya berfikiran positif. Mereka percaya apa yang dilakukan akan membuahkan hasil. Mereka juga rajin belajar serta menggunakan strategi dan kemahiran belajar yang berkesan. Kesimpulannya orang lain akan study hard manakala mereka akan study smart.

Oleh itu jika kita ingin menjadi juara atau seorang yang cemerlang, awal-awal lagi kita perlu memupuk sifat berkenaan. Malangnya ramai daripada kita yang sentiasa meragui keupayaan diri sendiri; apa jua tindakan yang diambil hanya bersifat sementara sahaja seperti peribahasa hangat-hangat tahi ayam sahaja. Di samping tiada tidak ada cara atau strategi melaksanakan sesuatu dengan cara yang betul dan efektif. Maka ini akan menyukarkan untuk kita untuk berjaya dengan cemerlang.

Kita perlulah menjadikan mereka yang cemerlang dan juara sebagai model ikutan kita dalam apa jua yang kita lakukan. Jika kita mula berfikir, bertindak dan berusaha seperti juara, lama-kelamaan, kita juga turut menjadi juara.

Technorati Tags: , , , , , ,

Pantun Enam Dan Lapan Baris

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah serkah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi?

Ambillah daun tapak leman,
Jangan ditaruh di atas papan,
Letak di jalan tiga simpang;
Sepakat roh dengan iman,
Takluk badanku pada tuan,
Tuanlah tempat saya menumpang.

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entah tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entah tidak,
Entahkan makin bertambah sayang.

Tuan menembak gunung Sumpu,
Saya menembak gunung Ransan,
Cerana Manggung jatuh terletak,
Ambil letakkan atas peran;
Tuan membuhul jangan membuku,
Mengulas jangan mengesan,
Usah dikembang depan orang banyak,
Kembang di bantal ketiduran.

Bagus rupanya bunga melur,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;
Pahar cerek sudah teratur,
Cawan mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

Technorati Tags: , , , , ,