Mereka Boleh Aku Pun Boleh

"Kalau mereka boleh berjaya, saya pun boleh berjaya", inilah kata-kata yang sering dilafazkan oleh orang yang cemerlang. Apabila menghadapi masalah atau jalan buntu, mereka tidak mudah berputus asa kerana berkeyakinan bahawa kalau orang lain boleh buat sesuatu atau berjaya mengapa mereka tidak boleh.

Rujukan mereka ialah orang yang cemerlang serta telah membuktikan kehebatan diri. Walaupun begitu bagi pelajar yang lemah pula ada tiga kemungkinan.

Pertama mereka tidak ada rujukan mana-mana orang cemerlang. Keduanya kalau ada pun rujukan orang cemerlang, mereka merasakan mereka tidak mampu atau layak untuk berjaya seperti itu. Atau ketiganya, rujukan mereka ialah rakan-rakan yang sendiri memang lemah.

Bagi merasionalkan kelemahan atau kemalasan mereka, akan berkatalah, "Kalau dia tu sudah berusaha pun masih gagal, buat apa kita berusaha bersungguh-sungguh".

Sepatutnya sebagai pelajar, contohnya, pelajar lain pun macam kita. Mereka belajar di sekolah yang sama, dengan guru yang sama, mata pelajaran yang sama, menggunakan buku yang sama. Malah mereka juga dikurniakan otak yang sama. Jadi kalau mereka boleh berjaya, maka mengapa kita tidak.

Technorati Tags: , , , ,

Mengambil Semula Barang Yang Diberi

Abdullah bin Abbas melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata,

"Orang yang mengambil semula apa yang diberinya, umpama anjing yang menjilat semula muntahnya."

Dalam laporan lain oleh Muslim, Nabi Muhammad berkata,

"Perumpamaan orang yang mengambil semula sedekah yang diberi adalah seperti anjing muntah kemudian dia datang semula kepada muntahnya dan makan muntah itu."

Dalam laporan lain, Nabi Muhammad berkata,

"Orang yang mengambil semula barang yang sudah diberi adalah sama seperti orang yang menjilat semula muntahnya."

~ Bukhari dan Muslim


Umar bin Khattab melaporkan, katanya,

"Saya menderma seekor kuda kepada seseorang bagi digunakan dalam perang menegakkan agama Allah. Tetapi dia cuai terhadap kuda itu. Saya hendak membeli semula kuda itu dan saya fikir, dia akan menjualnya dengan harga yang murah. Saya pun meminta pandangan daripada Nabi Muhammad. Beliau menjawab,

"Saudara jangan beli. Saudara jangan ambil kembali sedekah yang saudara beri sekalipun saudara memberi satu dirham sahaja. Kerana orang yang mengambil kembali sedekahnya seperti orang yang menelan semula muntahnya.""

~ Bukhari dan Muslim

Technorati Tags: , , , , ,

Susah Sebelum Senang

Berjalan pada mulanya sukar bagi si anak kecil. Tetapi setelah dilatih dan beberapa kali jatuh, lama-kelamaan dapat juga si comel itu berjalan. Masalah yang sama juga terdapat dalam kehidupan. Oleh itu apabila menghadapi apa jua masalah, bersabar dan berusaha sehinggalah dapat diatasi.

Semasa di zaman kanak-kanak dahulu emak melatih kita menyuap nasi sendiri. Pada mulanya agak susah sehingga kita dipakaikan lapik dada untuk mengelak nasi tertumpah ke atas baju. Apabila kita semakin besar, kita dilatih pula mengenakan pakaian sendiri. Malah mengenakan butang baju atau seluar dikira kerja yang sukar. Selepas itu kita belajar menaiki basikal. Apabila dewasa kita belajar memandu kereta. Semua itu pada mulanya pun agak sukar.

Umumnya, pada mulanya semua perkara itu kelihatan sukar. Tetapi setelah diulang-ulang, akhirnya ia akan kelihatan mudah. Semuanya dapat dilakukan tanpa berfikir panjang. Itulah resam hidup, apa pun susah sebelum menjadi senang.

Prinsip yang sama boleh kita praktikkan dalam menguasai sesuatu perkara atau tugasan. Walaupun pada peringkat awal kelihatan sukar, namun kita perlu berusaha dan terus berusaha serta banyak membuat latihan. Dengan cara itu, apa yang pada mulanya kelihatan sukar akan menjadi lebih mudah kelak.

Technorati Tags: , , , , ,