Panduan Memilih Makanan Sihat Semasa Ramadhan

Pada bulan Ramadhan, sepanjang siang hari kita berpuasa maka apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita akan membeli atau memasak sahaja semua makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan. Bagaimanakah untuk memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa supaya di samping kita dapat menikmati rasa yang sedap, berkhasiat dan memperolehi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh.

Bulan Ramadhan adalah sama seperti bulan-bulan yang lain tetapi bezanya kita makan di waktu malam. Sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut di samping tubuh kita mendapat cukup kalori untuk keperluan seharian. Jika pada hari-hari biasa kita mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, begitu juga di bulan puasa. Cuba amalkan makan secara berperingkat seperti pada waktu berbuka, mulakan minuman dan kuih-muih atau buah-buahan. Ini sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada perut kita yang kosong. Kita memberi rehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib. Selepas ini barulah perut kita akan lebih bersedia menerima makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.

Di samping kuantitinya, kualiti pemakanan juga perlu dititikberatkan. Ini untuk memastikan tubuh kita kembali menerima tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh terkandung di dalamnya. Amalkan pemakanan seimbang di mana kita perlu memastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air di ambil dalam jumlah yang sesuai dan mencukupi.

Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resepi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba memodifikasikan diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.

Berikut adalah panduan makanan untuk menjamin kesihatan kita;
  • Kurangkan penggunaan lemak terutama lemak tepu seperti sumber-sumber lemak dari binatang seperti mentega dan keju kerana lemak jenis ini juga mengandungi aras kolesterol yang tinggi. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan lebih sihat dan memastikan kita lebih berjimat-cermat.
  • Tingkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran segar. Kebanyakkan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah menyumbangkan serat (fiber).
  • Lebihkan pengambilan air. Ketika berbuka puasa, disarankan minum jus buaha-buahan (tanpa gula) dan elakkanlah dari minuman yang manis seperti minuman kordial dan minuman berperisa. Minuman yang berkafein seperti kopi tulen juga tidak digalakkan.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang masin terutama ketika bersahur. Disamping kita dapat mengelakkan bahaya penyakit, kita juga akan tidak merasa dahaga ketika berpuasa.
  • Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang manis. Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukkan.
Semoga dalam bulan Ramadhan ini, kita adalah di antara individu yang bijak memilih makanan yang sihat di samping berjimat-cermat dalam memilih makanan yang sesuai.

Technorati Tags: , , , , , ,
Reblog this post [with Zemanta]

Panduan Kehamilan Semasa Puasa

"Bertuahnya puan saat ini," kata seorang doktor kepada pesakit wanita yang diperiksanya.

"Kenapa doktor?" balasnya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

"Sekarang Ramadan. Puan pula hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Ia kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan untuk mengenal penciptanya," jelas doktor.

Maka, tidak hairanlah, meski sedang hamil atau menyusui bayi mereka, tidak kurang ibu-ibu yang tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.

Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan ruksah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan sekarang.

Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak payah berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah mengqada puasanya kelak.

Antara alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan itu. Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada kawan.

Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.

Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.

Mereka menangguhkan masa untuk berbuka "Tunggulah setengah jam lagi." Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Noor Aini Saari berkata:

"Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan fetus/janin sendiri.

Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya," katanya.

Tambah beliau: "Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat."

Menurutnya, kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fiziologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita.

Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada si ibu mahupun janin dan berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa. Sebaliknya, bagi kehamilan bermasalah sebaiknya tidak berpuasa.

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi gizi/zat makanan janinnya.

Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius di kalangan ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu selain harus memikirkan keperluan dirinya sendiri, juga janin yang sedang dikandungnya.

Apabila diajukan kebimbangan ibu-ibu yang bayi mereka lapar jika terus berpuasa, terutamanya bagi yang melalui pengalaman sulung mengandung, Dr. Noor Aini menjelaskan:

"Ibu hamil yang menjalani ibadah berpuasa tidak perlu bimbang kalau-kalau janinnya kelaparan.

Ini kerana, jika janin memerlukan makanan, ia secara automatik akan mengambil gizi dari tubuh ibunya yang dibekalkan sepenuhnya melalui plasenta/uri", ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian bahawa, proses nutrisi yang optimum sebenarnya bermula sejak seseorang ibu itu berada di zaman kanak-kanak lagi.

Seseorang yang mempunyai tabiat pemakanan yang sihat sejak dari awal, akan mempunyai status pemakanan yang amat bagus dan mempunyai bekalan yang cukup sehingga ke awal kandungan.

Dengan meneruskan tabiat ini, beliau bukan sahaja dapat mengelakkan kekurangan nutrien, malah beliau juga akan memastikan anak di dalam kandungannya sentiasa sihat.

Pada masa yang sama, kata Dr. Noor Aini, ibu-ibu yang mengalami kekurangan nutrien di dalam pemakanan, akan menyebabkan tumbesaran bayi di dalam kandungan bermasalah.

"Semua bekalan yang ada di dalam tubuh badan ibu akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Ini akan menyebabkan ibu-ibu ini semakin tidak sihat.

Jika beliau tidak mengubah tabiat pemakanannya, anak yang di dalam kandungan juga akan turut terjejas," katanya sambil menambah, kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka berdua.

"Pada masa yang sama, kita tidak perlu makan untuk dua orang. Terlalu banyak makan dan nutrien juga akan mengundang musibah," tambahnya.

Perkembangan janin
Janin akan mengalami berbagai-bagai fasa pertumbuhan seperti hiperplasia (pertumbuhan sel), hypertrofi (pembesaran sel) dan juga pengkhususan sel sehingga minggu kelapan.

Janin ini juga bergantung sepenuhnya kepada nutrien ibu. Nutrien juga amat penting untuk memastikan pertumbuhan plasenta yang sihat.

Setiap organ mempunyai masa pertumbuhan kritikalnya yang tersendiri. Contohnya, otak mempunyai pertumbuhan kritikal semasa minggu ke-18 kandungan.

Kekurangan nutrien akan menyebabkan kekurangan sel otak, merencatkan pertumbuhan serta perkembangan otak.

Pertumbuhan dan pembesaran bayi akan berkembang dengan pesat pada minggu ke-12 hinggalah ke minggu ke-36 dengan pertumbuhan maksimum pada fasa trimester ketiga.


Puasa mengikut trimester

Sepanjang tempoh kehamilan normal 40 minggu dibahagikan kepada tiga trimester, setiap trimester mempunyai lebih kurang 13 minggu.

Semasa di awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa.

Semasa usia kandungan trimester kedua dan ketiga, keperluan protein, kolesterol, lemak, vitamin dan mineral meningkat dengan mendadak.

Makanan yang seimbang dan mencukupi akan juga membekalkan tenaga yang cukup bagi memenuhi keperluan janin dan plasenta.

Sepanjang tempoh ini, sebahagian besar tenaga disimpan di dalam bentuk glikogen dan lemak.

Jadi tidak hairanlah, mengapa ibu yang kurang pemakanan biasanya mempunyai bayi yang kurus manakala fetus daripada ibu yang obes dan berlebihan nutrien, lazimnya gemuk.

Ketika kandungan berusia enam hingga sembilan bulan, janin mula menghasilkan insulin untuk mengubah glukos ke bentuk glikogen dan lemak yang menyumbang kepada berat badannya.

Ketika berpuasa, ibu mengalami keadaan hipoglisemia selama beberapa jam terakhir berpuasa. Keadaan ini juga menyebabkan bayi tersebut mengalami keadaan yang sama dan akan menggunakan semula bekalan yang telah disimpan.

Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa yang paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit seperti di bawah disarankan agar tidak berpuasa:
  • Morning sickness yang teruk; ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi yang berzat tinggi
  • Penyakit kronik seperti diabetes mellitus, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain. Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan, serta kesihatan ibu akan turut terjejas
  • Anemia/kekurangan darah semasa mengandung
  • Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering)
  • Pesakit jantung
  • Tumbesaran bayi yang terencat
  • Mengalami perdarahan semasa mengandung.

Panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan

Seseorang itu tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa bulan Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang.

Pengambilan makanan dari pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting. Agar ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan yang mempunyai nilai kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar.

Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya.

Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya ibu-ibu hamil kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan bahawa, seseorang itu tidak mengalami dehidrasi.

Air amat diperlukan oleh bayi dalam membentuk air mentuban. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Minumlah segelas susu setiap kali bersahur.

Pilihan yang baik untuk berbuka dan bersahur

Semasa berbuka puasa, anda digalakkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak kerana ini boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Antaranya buah-buahan segar, kurma, jus buah-buahan segar, kuih-muih yang kurang manis dan kurang lemak (apam beras, popia basah), yogurt rendah lemak yang ditambah dengan buah-buahan segar, telur rebus/ayam yang dipanggang, kacang panggang yang dimakan bersama roti bijirin.

Selepas beberapa jam kemudian, anda boleh menikmati hidangan yang lain seperti roti bijirin yang berintikan telur dan tomato, ayam rebus atau panggang dengan salad, keju dengan salad, atau tuna dengan timun dan tomato.

Atau, pasta dengan kuah yang berasaskan tomato, bebola daging dan salad, mihun sup dengan ayam dan sayur-sayuran, nasi putih dengan ikan kukus dan sayur-sayuran.

Atau, laksa Penang dan sayur-sayuran, mihun goreng kurang minyak yang lengkap dengan ayam atau daging dan sayur-sayuran.

Begitu juga dengan waktu bersahur, anda digalakkan mengambil makanan yang seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak. Makanan yang dimakan semasa sahur akan dapat bertahan selama lapan jam ataupun lebih awal.

Tip agar sentiasa segar semasa mengandung di bulan Ramadan
  1. Jangan lupa selalu makan makanan berzat baik pada saat sahur atau berbuka puasa. Walau menu sederhana, yang penting mengandungi lima unsur zat lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral
  2. Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyakkan meminum air putih pada malam hari. Hal ini penting dilakukan, kerana pada siang hari, aktiviti kita cenderung banyak mengeluarkan keringat baik di ruangan terbuka atau berhawa dingin
  3. Pada saat berbuka, mulakan dengan makanan atau minuman hangat dan manis seperti Milo, susu atau minuman manis lainnya. Tapi ingat, jangan mengambil minuman yang mengandungi soda, kerana dapat menimbulkan akibat buruk bagi perut anda
  4. Jangan minum air dingin atau ais. Biasakanlah berbuka dengan minuman yang hangat. Perut yang kosong kerap menjadi kembung, bila anda terus berbuka puasa dengan air dingin
  5. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka. Tujuannya untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan kita. Ingat, jangan mengambil makanan berlebihan dan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti telur dan ikan masin
  6. Berbuka puasa hendaknya dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terburu-buru agar perut tidak terkejut. Untuk meringankan kerja penghadaman, kunyah makanan dengan baik
  7. Supaya anda mampu menahan rasa lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadamkan makanan yang banyak serat
  8. Selain memperbanyakkan makanan berserat dan berprotein, sebaiknya anda juga menyediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari
  9. Vitamin yang penting diambil setiap hari adalah vitamin A, B dan C. Tetapi, kalau anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur berwarna hijau tua dan kekacang, maka tidak perlu khuatir kekurangan vitamin tersebut.

Ibu menyusu

Bagi ibu yang sedang menyusui bayi sepenuhnya, seeloknya jangan berpuasa dahulu kerana bayi perlu menyusu susu ibu setiap tiga jam.

Sekiranya ibu tidak makan dan minum, bagaimanakah ibu dapat menentukan susunya yang paling berkualiti? Sekiranya bayi sudah mula makan makanan lain selepas berumur empat bulan, ibu ini bolehlah berpuasa.

Apabila berbuka, pastikanlah makanan anda cukup berzat dan seimbang dan minum air secukupnya. Semasa sahur, amalkan minum segelas susu.

Technorati Tags: , , , , ,


Reblog this post [with Zemanta]

Elak Makanan Tercemar

Pencemaran makanan boleh berlaku apabila ada pemindahan bakteria yang datangnya dari papan pemotong, perkakasan memasak dan juga jenis makanan yang berbeza apabila ia tidak dikendalikan dengan betul.

Salah satu kelengkapan di dapur yang bertindak sebagai agen penyebaran bakteria adalah 'kain buruk' yang sering digunakan untuk mengelap permukaan kaunter dapur.

Kain yang sering digunakan berkali-kali sebelum dibasuh itu juga menjadi rumah untuk pelbagai jenis bakteria.

Antara langkah lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan:
  • Sering mencuci papan pemotong, pinggan mangkuk dan perkakasan seperti garpu dan sudu dengan air panas dan bersabun selepas ia digunakan untuk memotong daging mentah, produk ayam dan juga makanan laut.
  • Amalkan mencuci tangan dengan sabun dan air hangat yang bersih sekurang-kurangnya selama 20 saat selepas setiap kali memegang bahan makanan mentah, keluar dari tandas, memegang haiwan peliharaan, atau menukar lampin anak.
  • Gunakan papan pemotong yang berlainan untuk memotong barangan segar (sayur dan buah) dengan makanan lain (daging, ayam dan makanan laut).
  • Asingkan daging mentah, ayam dan makanan laut daripada makanan lain dalam troli beli-belah. Letakkan makanan ini dalam beg plastik bagi mengelakkan airnya menitik dan terkena makanan lain. Pengasingan juga penting ketika membungkus di kaunter bayaran.
  • Gunakan tuala kertas atau kain lap bersama sabun dan air hangat untuk membersihkan permukaan kaunter dapur. Bagi penyelesaian pembersihan dapur dan perkakasan berkaitan, campurkan satu sudu makan cecair peluntur klorin dengan satu gelen air bersih.
  • Amalkan memerap makanan dalam peti sejuk, dan bukannya atas kaunter dapur. Sos yang dikhaskan untuk memerap daging mentah, ayam atau makanan laut tidak boleh digunakan pada makanan yang telah dimasak, melainkan ia sudah dididih terlebih dahulu.
  • Apabila menghidang makanan, gunakan pinggan yang bersih. Jangan sesekali meletakkan makanan yang baru dimasak ke pinggan yang telah digunakan, ataupun ke atas papan pemotong yang telah bersentuhan dengan daging mentah.
  • Simpan baki makanan ke dalam ruangan sejuk beku peti sejuk dalam tempoh selewat-lewatnya dua jam setelah ia terdedah. Gunakan bekas makanan yang bersih dan bertutup.
Technorati Tags: , , , , ,

Wuduk Zahir dan Wuduk Batin

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air".

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
  1. Bertaubat
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dunia
  4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riak)
  5. Tinggalkan sifat berbangga
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki."
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
  1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
  2. Syurga di sebelah kananku,
  3. Neraka di sebelah kiriku,
  4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."
"Di samping itu setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Tags: , , , , ,