Pantun Harapan Ikhtiar

Tampak api di Tanjung Puan,
Kuala Linggi tentunya indah,
Harap hati kepadamu tuan,
Langit tinggi dipandang rendah.

Kedondong batang sumpitan,
Batang padi saya lurutkan,
Tujuh gunung sembilan lautan,
Kalau tak mati saya turutkan.

Menjemur padi di selasar,
Buah gajus tumbuh di paya,
Takkan lari gunung dikejar,
Hilang kabus nampaklah dia.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Pakaian raja Tanah Melayu,
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah taruk kayu.

Buah masak tiga serangkai,
Hendak capai tangan tak sampai,
Baik kita menaruh sigai,
Kalau tunggul dimakan tupai.

Technorati Tags: , , , ,

Barah Ginjal

Secara umum lelaki lebih kerap berhadapan dengan penyakit barah ginjal berbanding wanita. Mengikut anggaran umum, jumlah lelaki yang berhadapan dengan penyakit ini adalah dua kali ganda daripada wanita.

Malah, risiko barah ginjal semakin tinggi seiring dengan peningkatan usia. Lebih 90 peratus daripada kes membabitkan mereka yang didiagnos dengan barah ginjal adalah pesakit yang berusia 45 tahun ke atas.

Pakar Onkologi Klinikal dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Gucharan Singh Khera, berkata umumnya pada waktu didiagnos, barah berkenaan sudah mengalami metastatis (merebak ke bahagian tubuh yang lain) di kalangan satu pertiga pesakit.

Dr Gucharan berkata, sehingga kini 208,000 orang di seluruh dunia didapati menghidap barah buah pinggang setiap tahun manakala 102,000 individu meninggal dunia akibat penyakit itu setahun. Pada tahun lalu, 51,000 kes barah ginjal didiagnos di Amerika Syarikat dengan membabitkan 13,000 kematian.

Katanya, walaupun wujud kemajuan dalam usaha memahami mekanisme pertumbuhan pelbagai jenis barah, barah ginjal masih menjadi penyakit yang belum difahami sepenuhnya.

“Apabila barah ginjal berada pada tahap lanjut, ia sangat sukar dikawal. Pada umumnya barah ginjal adalah penyakit yang tidak bertindak balas dengan kemoterapi atau terapi hormon,” katanya.

Menurut laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan mengenai kes barah di Malaysia pada 2003, ada 305 kes barah ginjal disahkan secara diagnosis di Semenanjung.

Faktor risiko
  • Pesakit yang menjalani dialisis ginjal dan mereka yang mempunyai sejarah barah ginjal dalam keluarga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk diserang penyakit ini.
  • Merokok adalah faktor risiko utama barah ginjal. Perokok memiliki kebarangkalian dua kali ganda lebih tinggi berhadapan barah ginjal berbanding mereka yang tidak merokok.
  • Obesiti dan penggunaan ubat penahan atau pelega kesakitan dalam jangka panjang juga boleh mengundang masalah ini.

Simptom
  • Darah dalam air kencing
  • Sakit belakang
  • Sakit pada sisi badan yang tidak hilang
  • Sakit atau pembesaran pada abdomen
  • Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya
  • Hilang selera makan
  • Badan letih dan lesu

Rawatan

Rawatan barah ginjal bergantung pada tahap seriusnya penyakit itu dan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

Terapi utama bagi barah ginjal adalah pembedahan. Bagaimanapun, ia hanya berkesan jika semua barah dapat dibuang. Rawatan radiasi juga boleh dibuat apabila barah sudah merebak ke luar ginjal.

Selain itu, pesakit boleh menggunakan rawatan kemoterapi tetapi rawatan ini hanya boleh dilakukan pada sesetengah pesakit saja.

Ada kaedah terapi baru yang digunakan kepada pesakit barah ginjal yang bertindak ke atas bahagian khusus sel barah. Rawatan ini menunjukkan keberkesanannya dalam rawatan pesakit barah ginjal lanjutan. Ini termasuk ubat menghalang pertumbuhan sel darah baru dan ubat yang mensasarkan faktor pertumbuhan sel penting yang lain.

Bayer Schering Pharma baru-baru ini, memperkenalkan sejenis pil oral yang diambil dua kali sehari. Pil ini dikenali sebagai Nexavar yang bertindak merencatkan pembentukan salur darah baru yang membekalkan darah dan nutrisi kepada tumor.


Technorati Tags: , , , , ,

Petua Rambut Berkilat

Rambut adalah mahkota khususnya kepada wanita. Ramai yang inginkan rambut yang sihat dan nampak berkilat. Berikut adalah beberapa petua yang boleh diikuti untuk mendapatkan rambut berkilat;
  • Ambil dua cawan pati santan, dua batang daun lidah buaya, lima helai daun pandan dan sebiji kuning telur. Kisar daun pandan bersama daun lidah buaya dan ambil airnya. Campurkan kuning telur dan kacau sebati. Sapukan di kepala sambil mengurut kepala selama lima minit. Apabila selesai, balut kepala dengan tuala bersih selama 10 minit. Kemudian cuci dengan air bersih. Jika rambut berkelemumur tambahkan sedikit perahan air limau purut.

  • Ambil segenggam kelapa yang baru diparut. Ketika mandi, kelapa tadi digosok rata-rata pada bahagian rambut. Amalkan selalu dan hasilnya rambut akan lebih sihat dan berkilat.

  • Bersihkan biji betik dan jemur hingga kering. Gorengkan tanpa minyak sampai hangus. Kemudian tumbuk atau giling hingga lumat. Pindahkan ke dalam piring dan bancuhkan dengan air. Sebelum menggunakannya, bersihkan rambut dan keringkan. Selain itu, sapukan bahan tadi pada rambut tanpa syampu. Hasilnya rambut akan berkilat dan lebih hitam.

  • Ramas beberapa helai daun limau purut dan bunga raya dengan sedikit air, tapis airnya dan lumurkan pada rambut. Di samping memberi keharuman pada rambut, ia juga menyejukkan kepala.

Technorati Tags: , , , ,

Beratnya Pengharaman Riba

Allah s.w.t berkata, "Orang-orang yang memakan ataupun mengamalkan riba tidak dapat berdiri dengan betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian adalah disebabkan mereka mengatakan, "Sesungguhnya jual beli itu sama sahaja seperti riba."

Padahal, Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang disampaikan kepadanya peringatan berkenaan larangan daripada Tuhannya, lalu dia berhenti daripada mengambil riba, maka apa yang sudah diambil dahulu sebelum pengharaman itu adalah menjadi haknya, dan ia terserah kepada Allah. Manakala sesiapa yang mengulangi lagi perbuatan mengambil riba itu, mereka adalah ahli neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

Allah susutkan kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil riba, dan Dia pula menambahkan keberkatan harta yang dikeluarkan secara sedekah. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal dalam kekufuran dan sentiasa melakukan dosa.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat, mereka beroleh pahala dan di sisi Tuhan mereka, dan tidak bimbang berlakunya sesuatu yang tidak baik kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba yang masih ada pada orang yang berhutang itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman."

Surah al-Baqarah ayat 275 hingga 278

Technorati Tags: , , ,