Salah satu kelengkapan di dapur yang bertindak sebagai agen penyebaran bakteria adalah 'kain buruk' yang sering digunakan untuk mengelap permukaan kaunter dapur.
Kain yang sering digunakan berkali-kali sebelum dibasuh itu juga menjadi rumah untuk pelbagai jenis bakteria.
Antara langkah lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan:
- Sering mencuci papan pemotong, pinggan mangkuk dan perkakasan seperti garpu dan sudu dengan air panas dan bersabun selepas ia digunakan untuk memotong daging mentah, produk ayam dan juga makanan laut.
- Amalkan mencuci tangan dengan sabun dan air hangat yang bersih sekurang-kurangnya selama 20 saat selepas setiap kali memegang bahan makanan mentah, keluar dari tandas, memegang haiwan peliharaan, atau menukar lampin anak.
- Gunakan papan pemotong yang berlainan untuk memotong barangan segar (sayur dan buah) dengan makanan lain (daging, ayam dan makanan laut).
- Asingkan daging mentah, ayam dan makanan laut daripada makanan lain dalam troli beli-belah. Letakkan makanan ini dalam beg plastik bagi mengelakkan airnya menitik dan terkena makanan lain. Pengasingan juga penting ketika membungkus di kaunter bayaran.
- Gunakan tuala kertas atau kain lap bersama sabun dan air hangat untuk membersihkan permukaan kaunter dapur. Bagi penyelesaian pembersihan dapur dan perkakasan berkaitan, campurkan satu sudu makan cecair peluntur klorin dengan satu gelen air bersih.
- Amalkan memerap makanan dalam peti sejuk, dan bukannya atas kaunter dapur. Sos yang dikhaskan untuk memerap daging mentah, ayam atau makanan laut tidak boleh digunakan pada makanan yang telah dimasak, melainkan ia sudah dididih terlebih dahulu.
- Apabila menghidang makanan, gunakan pinggan yang bersih. Jangan sesekali meletakkan makanan yang baru dimasak ke pinggan yang telah digunakan, ataupun ke atas papan pemotong yang telah bersentuhan dengan daging mentah.
- Simpan baki makanan ke dalam ruangan sejuk beku peti sejuk dalam tempoh selewat-lewatnya dua jam setelah ia terdedah. Gunakan bekas makanan yang bersih dan bertutup.